Sekolah khas lonjak prestasi pendidikan

Alimuddin
Alimuddin
A
A
A

SHAH ALAM - Cadangan kerajaan untuk mewujudkan sekolah khas pelajar keluarga paling miskin sesuai untuk dilaksanakan di negara ini bagi membantu melonjakkan prestasi pelajar dalam pendidikan.

Tokoh Pendidikan Negara, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata, tidak timbul isu pemisahan taraf dan anak-anak tidak dapat bergaul tanpa mengira agama, bangsa dan kedudukan.

“Pelajar ini tidak akan terikat lagi dengan latar belakang mereka jika semua kemudahan disediakan di sekolah itu.

“Ada pula guru-guru terlatih, kemudahan padang permainan, asrama dan makanan berzat. Ini dapat melonjakkan lagi potensi diri mereka dalam bidang pendidikan yang bermakna latar belakang tidak lagi memainkan peranan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Beliau mengulas mengenai kekhuatiran bahawa projek rintis sekolah khas pelajar keluarga paling miskin akan menyebabkan berlaku pemisahan taraf dan pelabelan dalam kalangan pelajar sedangkan negara kini menuju ke arah sistem pendidikan inklusif.

Kebimbangan itu disuarakan oleh Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad yang berpandangan bahawa sekolah sepatutnya menjadi tempat inklusif di mana anak-anak dapat bergaul tanpa mengira agama, bangsa dan kedudukan sama ada miskin atau kaya.

Mengulas lanjut mengenainya, Alimuddin yang juga bekas Ketua Pengarah Pelajaran berkata, pelajar-pelajar terbabit seterusnya akan bersaing antara satu dengan yang lain sama seperti di sekolah yang mempunyai kemudahan lengkap.

“Dalam konteks ini, mereka akan fokus untuk belajar dan semua kemudahan yang ada termasuk guru yang terlatih akan membantu mereka maju dalam pelajaran.

Artikel Berkaitan:

“Jadi kalau kerajaan mampu untuk melaksanakan projek rintis ini, ia sangat dialu-alukan. Apa sahaja inisiatif kepada pelajar-pelajar yang kurang mampu ini seharusnya mendapat dukungan daripada kita semua,” katanya.

Beliau berkata, walaupun datang daripada keluarga miskin, tetapi jika diberikan peluang dan kemudahan pembelajaran lengkap, pelajar itu boleh maju seperti pelajar lain yang berkemampuan dan golongan elit.

“Saya juga tidak lihat ada sisi buruk dengan inisiatif ini malahan semua pelajar yang terpilih untuk masuk ke sekolah ini akan beruntung dan berpeluang mengubah nasib keluarga mereka suatu hari nanti.

“Ia juga akan mengurangkan kesenjangan dalam pendidikan kerana kita tahu kemudahan pendidikan di luar bandar dan pedalaman dengan bandar besar berbeza.

“Kadang-kadang di kawasan pedalaman sesetengah tempat, bekalan elektrik dan air tiada dan jalan raya nak masuk sukar. Jadi jika semuanya disediakan lengkap kepada pelajar, ia akan menguntungkan mereka,” jelasnya.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) Aminuddin Awang berkata, KPM juga boleh memikirkan kaedah lain untuk menarik minat anak-anak golongan miskin kerana terdapat segelintir daripada mereka yang tidak minat belajar.

“Saya mencadangkan supaya pengisian pembelajaran juga boleh ditekankan dengan aspek kemahiran seperti menjadi usahawan kepada anak-anak ini dan bukan memfokuskan kepada mata pelajaran sahaja.

“Selain itu, biasanya apabila kita bercakap tentang soal kemiskinan golongan yang sering menjadi tumpuan adalah mereka yang tinggal di luar bandar seperti di pedalaman sahaja.

“Bagaimanapun kita jangan lupa bahawa di bandar juga terdapat kumpulan miskin bandar dan diharapkan kerajaan juga dapat melihat kelompok ini,” katanya.

Perdana Menteri pada Sabtu lepas memaklumkan bahawa kerajaan berhasrat untuk memperkenalkan sekolah khas bagi anak golongan paling miskin di negara ini supaya mereka tidak tertinggal dalam arus pendidikan.