Bekas KSUS Muhyiddin dakwa kajian EMGC terpesong

Laporan hasil dapatan kajian EMGC mengenai prestasi keseluruhan Anwar sebagai Perdana Menteri.
Laporan hasil dapatan kajian EMGC mengenai prestasi keseluruhan Anwar sebagai Perdana Menteri.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Keputusan kajian Endeavour-MGC tentang sentimen pengundi kerusi marginal Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor yang cenderung memihak kepada Pakatan Harapan (PH), dilihat mempunyai dua kelemahan terbesar, kata bekas Ketua Setiausaha Sulit Tan Sri Muhyiddin Yassin, Marzuki Mohamad.

Beliau, yang juga merupakan Profesor Madya Jabatan Sains Politik, Universiti Islam Antarabangsa berkata, kajian itu dilihat mempunyai masalah dari segi persampelan responden, serta faktor kononnya 52 peratus pengundi Melayu menyokong PH pada Pilihan Raya Umum tahun 2022.

Marzuki mendakwa persampelan yang dilakukan EMGC adalah terpesong, sekali gus menyebabkan dapatan kajian keseluruhan itu terpesong.

“Kajian ini mendedahkan 52 peratus daripada responden Melayu dalam kajian ini mengundi PH dalam PRU15 di Selangor. Sedangkan analisa data sebenar keputusan PRU15 di Selangor menunjukkan hanya 24 peratus pengundi Melayu di Selangor mengundi PH dalam PRU15.

“Apabila 52 peratus daripada responden dalam kaji selidik ini adalah pengundi PH, maka tidak hairanlah jawapan kepada soalan-soalan dalam kaji selidik ini lebih cenderung untuk menyokong PH,” katanya lagi.

Marzuki berkata, jika benar 52 peratus pengundi Melayu menyokong PH dalam PRU15 di Selangor, sudah tentulah PH sapu bersih semua kerusi Parlimen di Selangor dalam PRU15, sedangkan fakta menunjukkan PN menang enam kerusi majoriti Melayu di Selangor dalam PRU15.

Keduanya, tambah Marzuki lagi, ialah keupayaan kaji selidik tersebut yang mencerap 100 peratus pilihan parti responden, satu situasi yang beliau sifatkan sebagai luar biasa.

"Sepanjang pengalaman saya terlibat dalam pelaksanaan kaji selidik kajian pendapat sejak tahun 2008, saya tidak pernah menemui mana-mana kajian yang berupaya mencerap 100 peratus pilihan parti responden. Akan ada lebih kurang 30 - 40 peratus responden yang jawab tidak tahu, tidak pasti, undi itu rahsia atau menolak untuk menjawab.

“Kadang-kadang sehingga hari terakhir kempen pun masih ada responden yang tidak mendedahkan parti mana yang mereka akan undi. Ini bukan bermakna mereka gagal membuat pilihan. Sebahagian besarnya telah membuat pilihan tetapi tidak mahu mendedahkannya,” katanya lagi.

Sementara itu Pengarah Penyelidikan & Analisis EMGC, Selan Rajendran berkata, pihaknya kekal sebagai badan penyelidik bebas, dan persampelan tidak tertumpu kepada mana-mana kumpulan yang mempunyai kecenderungan politik, sebaliknya berdasarkan kaedah persampelan rawak berstrata.

“EMGC independent tak berpihak kepada mana mana parti. Tujuan kaji selidik ini demi mengetahui pandangan rakyat. Dan menjadi tanggungjawab kami sebagai pollster atau badan menyelidik untuk kekal telus tentang proses kami serta analisis dan laporan kami.

“Jadi dalam pendapat kajian kali ini, tahap sokongan yang kami laporkan ini adalah seperti apa yang dikatakan responden. Jadi kalau nampak seperti memihak kepada sesetengah pihak, bukan bermaksud kami cari dan buat survey dengan kumpulan tertentu. Ini persampelan rawak berstrata. Jika nampak memihak kepada sesuatu pihak, ini tak bermaksud (ia) dikawal,” katanya lagi.

Menurut Selan, kajian ini dilakukan antara 22 hingga 28 Julai lalu, iaitu sebelum tarikh penamaan calon yang ditetapkan Suruhan Pilihan Raya (SPR).

Beliau berkata, mungkin terdapat perubahan kepada hasil dapatan EMGC, bergantung kepada kempen yang dijalankan oleh gabungan-gabungan parti besar tersebut. - Awani

ARTIKEL BERKAITAN: 52 peratus mahu Anwar terus jadi PM

Majoriti mahu Amirudin dilantik semula MB