Dakwaan Sanusi ditahan: Saifuddin hanya tahu melalui penafian polis

Saifuddin bersama calon Barisan Nasional DUN Pedu, Datuk Seri Mahdzir Khalid turun berkempen di Pasar Pagi Pekan Naka, Padang Terap pada Ahad.
Saifuddin bersama calon Barisan Nasional DUN Pedu, Datuk Seri Mahdzir Khalid turun berkempen di Pasar Pagi Pekan Naka, Padang Terap pada Ahad.
A
A
A

PADANG TERAP - Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menjelaskan tidak mempunyai maklumat mengenai dakwaan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhamad Sanusi Md Nor ditahan pada petang Sabtu.

Menurutnya, perkara itu disedari selepas membaca kenyataan polis menafikan laporan berita berkenaan dan beliau memohon kepada media tempatan agar lebih berhati-hati melaporkan berita selepas ini.

"Itu seriuslah sebenarnya, saya pun tak ada maklumat sehingga saya baca kenyataan polis iaitu yang pertama minta portal minta maaf, yang kedua tarik balik (laporan berita).

"Ia tidak bagus dalam suasana kita bertarung macam ini kita bawa elemen macam yang tak pasti, itu tak bagus," katanya pada sidang akhbar pada Ahad.

Beliau yang juga Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH) berkata demikian ketika ditemui di Bilik Gerakan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Naka dekat sini.

Mengulas lanjut, Saifuddin juga menjelaskan tidak mempunyai maklumat jika Sanusi bakal ditahan dalam tempoh terdekat ini.

Menurutnya, perkara tersebut juga berada di bawah bidang kuasa polis yang melakukan siasatan.

"Apakah ada kemungkinan? (Sanusi ditahan) saya tidak boleh jawab bagi pihak itu sebab penguat kuasanya polis," katanya.

Pada malam Sabtu, Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Asisten Komisioner A Skandaguru dalam satu kenyataan menafikan laporan berita Sanusi ditahan atau dipanggil untuk dirakam percakapan.

Menurutnya, tiada pihak dari Bukit Aman, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah atau Ibu Pejabat Polis Daerah di Kedah yang melakukan tindakan seperti dilaporkan portal berita berkenaan.

Sehubungan itu, katanya, polis meminta media berkenaan yang melaporkan berita palsu membuat permohonan maaf serta menarik balik laporan berita disiarkan.

Sementara itu, Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) melalui rancangan siaran langsung TikTok pada malam Sabtu juga menafikan bahawa beliau ditahan polis.