Polis nafi Sanusi ditahan

Laporan Sinar Harian pada Sabtu. Gambar kecil: Razarudin
Laporan Sinar Harian pada Sabtu. Gambar kecil: Razarudin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis menafikan dakwaan penahanan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, pada Sabtu.

Perkara itu ditegaskan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

"Ini fake news (berita palsu). Kita akan buat laporan sebab menyiarkan berita yang tidak sahih dan palsu," jelasnya kepada Sinar Harian.

Pada Sabtu, desas-desus penahanan kali kedua Muhammad Sanusi itu berlaku selepas dakwaan menerusi rakaman video sebuah program di Padang Serai di mana seorang lelaki yang dipercayai ahli Pas memaklumkan, pemimpin itu tidak dapat menghadirkan diri atas faktor keselamatan.

Memetik laporan Astro Awani, lelaki itu mendakwa Muhammad Sanusi akan hadiri program pada waktu lain.

"Panglima perang kita (Sanusi) tak dapat hadir petang ini kerana isu keselamatan. Beliau sebenarnya telah datang (lokasi program) separuh jalan tetapi disebabkan isu serius maka beliau tidak dapat hadir bersama kita namun beliau janji untuk hadir pada waktu lain.

"Insya-ALLAH walaupun panglima perang kita tak dapat hadir kita tetap menyokong PN, bila dia (Sanusi) umum tarikh yang baru (hadir semula) semua akan datang ramai-ramai," memetik ucapan menerusi video berkenaan.