Beku atau hadkan pengeluaran lesen kontraktor baharu

Abdul Rahman (lima kanan) bersama ahli Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKKM) Kedah selepas diskusi di sebuah hotel pada petang Sabtu.
Abdul Rahman (lima kanan) bersama ahli Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKKM) Kedah selepas diskusi di sebuah hotel pada petang Sabtu.
A
A
A

ALOR SETAR - Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Sri Abdul Rahman Mohamad berpendapat pemberian lesen baharu kepada kontraktor wajar dibekukan buat sementara waktu ataupun mengehadkan jumlah pengeluarannya.

Menurutnya, lambakan lesen menjadi antara isu yang dilontarkan oleh kontraktor semasa beliau turun padang di beberapa negeri seperti Kelantan, Terengganu dan terbaru Kedah.

"Pandangan peribadi saya sebenarnya buat sementara ini perlu ada keperluan untuk kita berhentikan sementara atau pun kita fikirkan kaedah-kaedah (kawalan) untuk kita berikan lesen baharu ini tidak semudah yang macam sekarang," katanya pada sidang akhbar di sebuah hotel, dekat sini, pada petang Sabtu.

Beliau berkata demikian selepas Diskusi Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKKM) Negeri Kedah yang turut dihadiri Presiden PKMM, Datuk Seri Mohamed Fadzill Hassan.

Abd Rahman berkata, langkah tersebut wajar diambil kerana persaingan dalam kalangan pemain industri pembinaan sedia ada sudah terlalu ramai.

Jelasnya, syarat pendaftaran lesen baharu mungkin perlu disemak kembali sebelum permohonan kontraktor dapat diluluskan.

"Kalau kita ambil kira RM10,000 pendaftaran lesen baharu saya rasa mudah, dipinjamkan daripada kawannya boleh daftar lesen tetapi (paling penting) waktu untuk melaksanakan pekerjaan itu," katanya lagi.

Abdul Rahman berkata, selain isu lesen, beberapa perkara lain turut dibangkitkan para kontraktor berkaitan masalah-masalah yang dihadapi mereka di negeri ini.

"Mereka (peserta diskusi) bangkit banyak perkara yang boleh dipertimbangkan antaranya kalau cabut undi mestilah khusus yang diberikan.

"(Sebagai contoh) kalau untuk jalan apakah tajuk jalan itu. Itulah yang layak mengundi. Ini yang dibangkitkan dan mungkin JKR (Jabatan Kerja Raya) boleh laksanakan," jelas beliau.