Libatkan tenaga kerja wanita dalam bidang teknologi tinggi

Ahmad Zahid beramah mesra dengan masyarakat yang mengubah bunga pada karnival kerjaya MyFuture Jobs Bersama Hawa Malaysia, pada Sabtu. - Foto Bernama
Ahmad Zahid beramah mesra dengan masyarakat yang mengubah bunga pada karnival kerjaya MyFuture Jobs Bersama Hawa Malaysia, pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

KEPALA BATAS - Tenaga kerja wanita yang menyertai program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) perlu dilibatkan dalam bidang berteknologi tinggi bukan terkhusus kepada bidang industri domestik semata-mata, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, program TVET sebelum ini yang dilaksanakan 12 kementerian antaranya di bawah Kementerian Sumber Manusia (KSM) serta Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), membolehkan kebolehpasaran tenaga kerja kini berada di tahap 92.6 peratus.

Beliau berkata, ini bermakna mereka yang mendapat latihan di bawah program TVET secara tidak langsung telah menambah nilai ekonomi.

"Saya telah meminta supaya guna tenaga wanita ini tidak terkhusus hanya dalam bidang domestik.

"Ia mesti diwujudkan dalam bidang berteknologi tinggi, jangan merendahkan kemampuan wanita dan jika mereka diberi peluang dalam latihan skil yang berteknologi tinggi saya yakin wanita Malaysia akan berada di garisan hadapan untuk menyahut cabaran kerja dalam bidang tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Kerjaya MYFutureJobs bersama Majlis Hal Ehwal Wanita dan Keluarga UMNO Malaysia (Hawa) yang bertemakan "Perkasa Wanita dan Keluarga” di sini pada Sabtu.

Turut hadir Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar dan Pengerusi Hawa, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.

Pada 3 Ogos, Ahmad Zahid yang juga Menteri KKDW berkata, kerajaan menyasarkan untuk menarik penyertaan 150,000 peserta dalam program TVET khusus untuk wanita dikenali sebagai JELITA (Job Empowerment by Learning and Inclusive Technical Advancement) menjelang 2026.

Dalam pada itu, beliau berkata, lebih banyak peluang pekerjaan perlu dibuka kepada golongan wanita yang berpotensi memandangkan kadar guna tenaga wanita masih rendah.

Menurutnya, berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) guna tenaga wanita dalam alam pekerjaan hanya pada tahap 62.5 peratus.

"Saya harap KSM bersama dengan HAWA akan dapat membuka peluang pekerjaan ini dengan dimulai melalui latihan keterampilan atau skill training (latihan kemahiran),” katanya. - Bernama