PRN: Calon BN DUN Johol pertaruh rekod pencapaian lima tahun

Saiful Yazan (tujuh kanan) bersama jentera BN ketika menyantuni masyarakat Orang Asli.
Saiful Yazan (tujuh kanan) bersama jentera BN ketika menyantuni masyarakat Orang Asli.
A
A
A

KUALA PILAH - Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Johol, Saiful Yazan Sulaiman menjadikan prestasi dan pencapaian terbaiknya sepanjang lima tahun berkhidmat di DUN berkenaan sebelum ini sebagai taruhan pada pilihan raya negeri (PRN) kali ini.

Menurutnya, banyak yang telah dilakukan biarpun berdepan cabaran terutamanya ketika negara berdepan wabak Covid-19, namun soal pembangunan, pendidikan, kebajikan dan lain-lain melibatkan semua peringkat umur termasuklah dalam kalangan masyarakat Orang Asli tetap menjadi keutamaannya.

"Di Johol ini saya banyak memperkatakan soal pencapaian kita dalam tempoh lima tahun sebelum ini terutamanya bidang pendidikan. Kita bercakap mengenai kewujudan pusat tuisyen yang dah sememangnya kita jalankan pada penggal lepas.

"...Dan penggal akan datang Insya-ALLAH, dalam Tekad Hebatkan Johol yang saya umumkan tempoh hari, saya nak memperbanyakkan lagi pusat tuisyen ini di beberapa tempat dan mungkin akan tambah dua atau tiga lagi," katanya kepada Sinar Harian.

Saiful Yazan (kanan) ketika menyantuni penduduk sekitar Kampung Malan,Johol.
Saiful Yazan (kanan) ketika menyantuni penduduk sekitar Kampung Malan,Johol.

Saiful Yazan yang merupakan penyandang DUN berkenaan berkata, turut dalam perhatiannya adalah soal pembangunan infrastruktur dengan meneruskan kesinambungan perancangan terdahulu seperti jalan raya, penyelenggaraan padang permainan dan sebagainya.

Selain itu katanya, beliau mahu menjadikan kawasan Johol ini sebagai pilihan pelancong antaranya membangunkan beberapa kawasan sebagai destinasi pelancongan.

"Salah satunya saya tekankan eko-pelancongan dengan membina kem perkhemahan, perbanyakkan inap desa yang melibatkan pembangunan di kawasan tanah terbiar.

"Bagaimana pun untuk membangunkan tanah ini ia membabitkan dua status iaitu tanah adat dan tanah yang mungkin daripada segi pemiliknya dah tak tinggal di kawasan.

"Kalau tanah terbiar (individu) di jalan utama itu mungkin pembukaan industri-industri kecil, selain itu sebahagian tanah-tanah terbiar di tepi sungai sesuai untuk buat tapak perkhemahan," katanya.

Mengulas mengenai tanah adat, beliau berkata, ia perlu satu pendekatan yang lain namun usaha itu telah mendapat perhatian kerajaan negeri sebelum ini.

"Ada satu dasar juga sebenarnya dasar pihak kerajaan negeri yang saya rasa telah pun dirangka untuk kita bagi penekanan membangunkannya, ia juga mengambil kira beberapa perkara berkaitan terutamanya tanah adat.

"Tapi Insya-ALLAH, dengan adanya Kerajaan Perpaduan ini, kerjasama dan idea serta pemikiran macam mana nak bangunkan Johol ini lagi mudah," ujarnya.

DUN Johol menyaksikan pertembungan satu lawan satu di antara calon BN, Saiful Yazan dengan Kamarudin Md Tahir yang mewakili Perikatan Nasional (PN).