Pengurangan saiz lot dagangan Bursa Malaysia dilaksana sebelum akhir tahun

Ahmad merakam kenangan selepas menyempurnakan perasmian Bursa Market Place Fair 2023 di Pusat Konvension Antarabangsa Persada di Johor Bahru pada Sabtu.
Ahmad merakam kenangan selepas menyempurnakan perasmian Bursa Market Place Fair 2023 di Pusat Konvension Antarabangsa Persada di Johor Bahru pada Sabtu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Inisiatif pengurangan saiz lot dagangan di Bursa Malaysia yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jun lalu akan dilaksana sebelum hujung tahun ini.

Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, inisiatif 'Enablement of Fractional Share Trading' itu merupakan satu daripada tiga inisiatif kerajaan untuk menjadikan pelaburan di Bursa Malaysia lebih mampu milik.

Menurutnya, inisiatif itu dilihat dapat menarik lebih ramai rakyat untuk melabur sekali gus meningkatkan jumlah pelabur runcit yang kini hanya 28 peratus.

“Pelaksanaan inisiatif itu akan menjadikan kebolehcapaian pelabur runcit untuk mendapat akses kepada pembelian saham 'Blue Chip' yang lebih mudah dan mampu milik.

"Pelabur runcit selepas ini tidak perlu membeli satu lot saham yang ada 100 unit, mereka boleh beli satu, dua unit atau RM10, RM30, RM40, RM50, tidak semestinya beribu-ribu ringgit.

"Ini satu perkara yang boleh merancakkan dan lebih ramai lagi pelabur runcit di luar sana yang mampu untuk membeli saham, sekali gus boleh memperhebatkan lagi pasaran modal Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar sempena Bursa Market Place Fair 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Pengerusi Bursa Malaysia, Tan Sri Abdul Wahid Omar; Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift dan Ketua Pembangunan Pelabur Bursa Malaysia, Stephanie Tan.

Kerajaan sebelum ini mengambil langkah mengurangkan kadar duti setem bagi saham yang didagangkan di Bursa Malaysia sehingga 0.10 peratus daripada nilai kontrak berkuat kuasa Julai lalu.

Bursa Malaysia juga melancarkan Program Insentif 'E-T-F Power Players' 2023 bertujuan untuk memperkukuh nilai dagangan, volum dagangan dan jumlah pelabur dan peniaga yang berdagang dalam dana dagangan bursa (ETF).

Program berkenaan yang berlangsung 17 Julai lalu hingga 29 Disember depan menawarkan insentif tunai menarik kepada pelabur dan peniaga yang terbabit secara aktif dalam perdagangan sekurang-kurangnya satu ETF tersenarai di Bursa Malaysia dalam tempoh yang ditetapkan.

Setakat ini, Bursa Malaysia mempunyai kira-kira 1.4 juta pelabur aktif termasuk 13,800 akaun pelabur baharu dalam kalangan pelabur runcit tahun lalu.

Mengulas mengenai Bursa Market Place Fair 2023, Ahmad berkata, penganjuran acara itu adalah usaha kerajaan untuk memperkasakan rakyat dalam inisiatif Ekonomi Madani.

"Ini adalah salah satu komponen dalam kita hendak merakyatkan pasaran saham kepada masyarakat supaya bidang ini tidak menjadi satu perniagaan eksklusif kepada mereka yang hanya faham, tetapi lebih inklusif kepada ramai pihak yang boleh memasuki pasaran saham," katanya.

Sementara itu, Abdul Wahid berkata, pihaknya berharap dengan pelbagai inisiatif dilaksanakan kerajaan dapat meningkatkan lagi bilangan pelabur runcit dalam pasaran saham di negara ini.

"Kita melihat ada peningkatan pelabur runcit ke tahap 28 peratus daripada pasaran saham, jadi sekarang kita sudah ada 1.4 juta pelabur yang aktif dan seramai 191,000 adalah dari Johor.

"Dari segi pembukaan akaun baharu pula, tahun lalu seramai 13,800 akaun pelabur runcit dibuka dan ia merangkumi 14 peratus daripada jumlah akaun yang kita ada iaitu seramai 99,600.

"Walaupun tiada jumlah sasaran yang diletakkan, namun kita berharap ia akan terus meningkat," katanya.