Jangan polimikkan isu ahli keluar parti, itu hak mereka - Azalina

Azalina (tiga kanan) bersama Bibi Sharliza (dua kiri) beramah mesra bersama penduduk Bukit Gelugor, Kuala Pilah ketika program jelajah mesra pada Jumaat.
Azalina (tiga kanan) bersama Bibi Sharliza (dua kiri) beramah mesra bersama penduduk Bukit Gelugor, Kuala Pilah ketika program jelajah mesra pada Jumaat.
A
A
A

KUALA PILAH - Dakwaan mengenai ahli UMNO yang keluar parti beramai-ramai tidak perlu dipolimikkan seolah-olah tindakan itu sebagai petanda orang Melayu sudah tidak menyokong perjuangan UMNO.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said menegaskan, tindakan berkenaan tidak menyalahi undang-undang malah ia adalah hak individu yang berparti.

“Bagi saya ini (keluar parti) adalah demokrasi, siapa yang nak keluar parti, itu hak dia. Siapa yang nak masuk parti, juga hak dia.

“Tetapi macam orang kata, kalau ada ahli keluar UMNO, ada juga orang dari parti lain keluar parti mereka.

"Kenyataan ini bagi saya mengucar-ngacirkan, memberi ‘side’ fokus (sedangkan) fokus kita nak menangkan calon kerana yang mengundi bukan hanya ahli UMNO, ahli PH (Pakatan Harapan),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sesi jelajah mesra bersama calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Juasseh, Bibi Sharliza Mohd Khalid pada Jumaat.

Sebelum ini media melaporkan, Pengerusi Muafakat Nasional (MN), Tan Seri Annuar Musa mendakwa ramai pemimpin dan ahli UMNO akan meninggalkan parti berikutan sudah tidak yakin dengan perjuangan parti berkenaan.

Ia disusuli dengan tindakan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Ketereh, Afiq Amani Annuar yang juga anak kepada Annuar yang mengumumkan keluar parti berkuat kuasa serta-merta hari ini.

Dalam pada itu, Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang turut mengingatkan bahawa UMNO ‘tidak bertanding’ pada pilihan raya negeri (PRN) enam negeri.


“Kenyataan demi kenyataan oleh mereka yang marah sangat kepada parti UMNO, saya nak ingatkan bahawa UMNO tidak bertanding hari ini. Yang bertanding BN.

“Yang ditawarkan oleh BN adalah (demi) rakyat yang mengundi. Saya tengok banyak kawasan di negeri-negeri, di kawasan bandar banyak pencampuran.

"Apa perasaan mereka kalau nak keluar undi seolah-olah ini ada satu gerakan yang memisahkan antara bangsa dan agama. Ini bukan budaya kita,” ujarnya.

Sementara itu beliau yang merupakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) turut menegaskan PRN di enam negeri tidak boleh mengubah situasi pentadbiran kerajaan Persekutuan.

Malah Azalina turut mengkritik sesetengah pihak yang membuat dakwaan demikian bertujuan untuk mewujudkan salah tafsir kepada orang ramai.

"Ia (PRN) tidak boleh mengubah situasi di Parlimen sebab pilihan raya umum (PRU) sudah habis," jelasnya.

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!