PM berkempen ikut aspirasi Malaysia Madani - Penganalisis

Anwar beramah mesra dengan orang ramai yang hadir pada Majlis Ceramah Jelajah Perpaduan bersama Perdana Menteri di Taman Ampangan pada Rabu. - Foto Bernama
Anwar beramah mesra dengan orang ramai yang hadir pada Majlis Ceramah Jelajah Perpaduan bersama Perdana Menteri di Taman Ampangan pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Inisiatif Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sentiasa turun padang untuk berkempen di negeri yang terlibat pilihan raya negeri (PRN) membuktikan bahawa beliau menerapkan elemen diplomasi terbaik dan keterbukaan dalam mendekati rakyat.

Penganalisis keselamatan dan politik, Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berpandangan, elemen tersebut menunjukkan Anwar ingin melakukan pembaharuan dari segi tata kelola, peradaban dan cara berkempen mengikut aspirasi Malaysia Madani.

“Salah satu perkara yang ingin diperbaharui adalah dengan memastikan rakyat mendapat akses mudah untuk mendekati dan mengenali beliau (Anwar) secara lebih dekat.

“Ini jelas menunjukkan perwatakan, keperibadian dan kepimpinan beliau berasaskan Madani iaitu seseorang pemimpin perlu turun padang serta melihat keadaan rakyat secara langsung,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau mengulas mengenai pendekatan diambil Anwar yang turun padang berkempen hampir setiap hari dan cara itu dilihat tidak seperti kebiasaan amalan Perdana Menteri sebelum ini.

Noor Nirwandy menjelaskan, Anwar dilihat mengamalkan pendekatan kurang protokol untuk berkomunikasi dengan masyarakat berbanding amalan pemimpin sebelumnya.

Beliau berkata, pendekatan sebegitu membentuk satu usaha dari sisi rakyat untuk mengenali dan mengetahui tahap kesungguhan beliau yang mengambil berat permasalahan orang ramai.

“Sebab Anwar sering turun lapangan adalah untuk membuktikan bahawa seorang Perdana Menteri perlu ada sifat ingin tahu yang tinggi dan boleh berinteraksi dengan masyarakat tanpa perlu melalui perantara (petugas khas).

“Hal ini kerana sekiranya perantara diwujudkan, khususnya semasa pilihan raya, sebarang mesej daripada Anwar dikhuatiri menimbulkan pelbagai pendapat atau disalah tafsir orang ramai,” ujarnya.

Noor Nirwandy menerangkan, usaha Menteri Kewangan itu menggunakan pendekatan diplomasi adalah kerana tidak mahu terikut dengan keadaan politik semasa yang mana wujudnya beberapa figura politik bersifat radikal, keras dan ekstrem.

Jelasnya lagi, pendekatan tersebut penting bagi mewujudkan corak politik moden dalam negara, khususnya untuk menampakkan keterbukaan dari segi pemikiran, keterampilan, kerohanian atau gaya hidup seorang Perdana Menteri.

“Ia merupakan cara politik baharu yang perlu diamalkan setiap pemimpin daripada kerajaan mahu pun pembangkang sebagai usaha memahami dan mendekati rakyat,” kata beliau.

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!