[VIDEO] Saifuddin dedah gambar lawatan Sanusi ke tapak REE

Saifuddin Nasution menunjukkan gambar lawatan tapak di Hutan Simpan Bukit Enggang oleh Muhammad Sanusi pada 19 Februari lalu.
Saifuddin Nasution menunjukkan gambar lawatan tapak di Hutan Simpan Bukit Enggang oleh Muhammad Sanusi pada 19 Februari lalu.
A
A
A

KUBANG PASU - Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mendedahkan gambar menunjukkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengadakan lawatan tapak di Hutan Simpan Bukit Enggang di Sik pada 19 Februari lalu.

Saifuddin mendakwa, pendedahan gambar itu sekali gus membuktikan Muhammad Sanusi sememangnya mempunyai pengetahuan mengenai kecurian unsur nadir bumi (REE) di Kedah.

Bagaimanapun Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH) itu berkata, Muhammad Sanusi hanya mendiamkan diri dan tiada tindakan diambil berkaitan perkara terbabit.

"Menteri Besar telah turun dan menyaksikan sendiri insiden kecurian ini, dia tengok sendiri bagaimana kemusnahan kawasan, bagaimana cari gali yang secara intensif dilakukan melibatkan kawasan yang demikian luas.

Gambar-gambar didakwa lawatan tapak oleh Muhammad Sanusi.
Gambar-gambar didakwa lawatan tapak oleh Muhammad Sanusi.

"Namun daripada tarikh itu tiada tindakan yang benar-benar serius telah diambil oleh beliau setelah usai lawatan ke lokasi kejadian," katanya ketika sidang media di Bilik Gerakan Utama Dewan Undangan Negeri (DUN) Jitra di sini, pada Khamis.

Menurutnya, Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu bukan sekadar berdiam diri malah berterusan menafikan bahawa beliau mempunyai maklumat mengenai kejadian berkenaan.

"Saksikan dalam banyak-banyak ucapan beliau dalam YouTube dan media sosial, dengan selamba beliau menafikan dan berulang kali sebut tiada pengetahuan tentang insiden kecurian ini.

"Ini sebenarnya menimbulkan kebimbangan yang serius tentang isu ketelusan dan akauntabiliti," katanya.

Dakwa Saifuddin, paling dikesalkan Pengarah Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kedah tidak melakukan sebarang tindakan, sedangkan Enakmen Mineral Kedah 2004 memperuntukkan sekurang-kurangnya tujuh seksyen yang membolehkan tindakan dibuat.

"Akibatnya yang menanggung kerugian adalah rakyat Kedah yang sepatutnya diberi jaminan perlindungan kepada sumber semula jadi dengan langkah tegas perlu diambil ke atas mereka yang terbabit dalam kegiatan haram ini.

"Saya sebut dua hari lepas, salah satu struktur (jawatan) dalam Perbadanan Menteri Besar (MBI) adalah Pengarah PTG, dia memegang jawatan penting sebagai ahli panel penasihat MBI. Selain itu, beliau atau wakilnya juga adalah Ahli Jawatankuasa Sumber Mineral Negeri," katanya.

Jelasnya, individu-individu terbabit adalah pihak berkuasa yang bertanggungjawab menyiasat perkara berkaitan Enakmen Mineral Kedah 2004.

"Saya telah meneliti pelbagai peruntukan dalam enakmen tersebut. Adalah menghairankan, walaupun isu ini sangat serius, tiada kertas siasatan dibuka untuk menangani perlombongan haram dan pencurian berterusan," katanya.

Sementara itu, Saifuddin menegaskan tidak gentar dengan ugutan Muhammad Sanusi untuk memfailkan satu lagi saman terhadapnya kerana mendedahkan isu berkaitan REE.

"Dia nak saman, samanlah. Ini ada surat beliau tulis kepada bekas Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Hamzah Zainuddin) memohon So Loi Fat sebagai Pengerusi Prospek Suria Kedah mendapatkan Pas Lawatan Ikhtisas masuk ke negara ini, jadi di mana tidak ada kaitannya?

"Semakan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mendapati ada Prospek Suria Kedah yang ditubuhkan pada November 2019 dan pengarahnya adalah So Loi Fat dan Ketua Pegawai Eksekutif MBI, Muhamad Sobri Osman.

"Betul So Loi Fat masuk sebelum Sanusi jadi Menteri Besar menggunakan Pas Lawatan Sosial, tetapi surat Sanusi yang membolehkan dia masuk menggunakan Pas Lawatan Ikhtisas sebagai profesional, dia pemegang saham dan jawatan dalam Prospek Suria Kedah," katanya.

Saifuddin menegaskan, tidak mungkin Ketua Pegawai Eksekutif MBI membuat keputusan menubuhkan syarikat Prospek Suria Kedah melainkan dia melaporkannya terlebih dahulu kepada Panel Penasihat MBI.

"Saya katakan bahawa Sanusi tahu semua operasi ini, pembabitan So Loi Fat yang kini menghilangkan diri, dia tahu banyak," dakwanya.

ARTIKEL BERKAITAN: REE: Kedah tegaskan tiada aktiviti perlombongan

Amanah Kedah dakwa aktiviti korek REE masih berlaku

REE: PKR Kedah lapor SPRM, gesa siasat Sanusi

REE: Saifuddin dedah MBI Kedah terima kompaun

Sanusi sedia saman Saifuddin

Saifuddin minta Sanusi dedah identiti lelaki China ditahan berkaitan REE

Saifuddin dakwa MBI tahu isu kecurian REE di Sik

'Sanusi dah hantar surat saman, kita lawan di mahkamah' - Saifuddin

REE: Saifuddin dedah gambar Sanusi bersama warga China, dokumen MBI