Syarikat pembinaan didenda RM10,000 ingkar notis larangan

No Image Caption
A
A
A

IPOH - [DIKEMASKINI] Sebuah syarikat pembinaan mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini atas dua pertuduhan gagal mematuhi notis larangan di bawah Seksyen 49(2) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

Notis tersebut dikeluarkan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak pada Februari lalu.

Noah Ark Builders Sdn Bhd diwakili Pengarah Syarikatnya, Low Chew Yin membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norashima Khalid.

Mengikut pertuduhan, syarikat itu selaku majikan yang menjalankan projek membina dua blok pangsapuri 22 tingkat, gagal mematuhi notis larangan menjalankan semua aktiviti kerja di dalam kawasan tapak pembinaan.

Syarikat sama turut didakwa gagal mematuhi notis larangan membenarkan orang yang bukan kompeten mengendalikan kren menara.

Kesalahan itu dikesan dilakukan semasa pemeriksaan dijalankan Pegawai JKKP pada 16 Februari lepas.

Bagi kesalahan itu, syarikat berkenaan didenda RM10,000 atau enam bulan penjara jika gagal membayar setiap pertuduhan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa JKKP Perak, Devyclay Pius sementara syarikat tidak diwakili peguam.

Artikel Berkaitan: