Potensi teroka industri ekonomi halal

Ekosistem ekonomi halal adalah konteks penting yang perlu diberi penekanan bagi meningkatkan pendapatan rakyat terutama usahawan Melayu Islam. - Gambar hiasan
Ekosistem ekonomi halal adalah konteks penting yang perlu diberi penekanan bagi meningkatkan pendapatan rakyat terutama usahawan Melayu Islam. - Gambar hiasan
A
A
A

MALAYSIA ialah antara negara yang diduduki oleh majoriti Melayu Islam sehingga kini. Seiring perubahan zaman, sistem ekonomi negara juga berkembang lebih maju mengikut kesesuaian dan keperluan rakyat di negara ini.

Namun, di manakah hala tuju ekonomi halal bagi pembangunan Islam di Malaysia? Penekanan aspek tersebut penting kerana Malaysia berpotensi menjadi pemain penting dalam sektor industri halal global.

Pada 27 Julai lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerangka Ekonomi Madani, bertujuan mengangkat semula ekonomi negara, sekali gus membawa limpahan hasil bagi membolehkan rakyat menikmati kehidupan lebih berkualiti.

Ujar Anwar yang juga Menteri Kewangan, pengumuman Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat adalah satu perancangan menyeluruh bagi Malaysia menghadapi pelbagai rintangan dan isu-isu berkaitan daya saing serta tarikan negara sebagai destinasi pelaburan.

Selain itu, ia juga menggariskan tindakan bagi menangani isu-isu semasa yang memberi kesan kepada kehidupan rakyat di negara ini. Selaras dengan itu, beliau mengumumkan tujuh penanda aras utama bagi mencapai sasaran Ekonomi Madani yang ditetapkan.

Penanda aras yang ditetapkan ialah Malaysia perlu berada di kedudukan antara 30 ekonomi terbesar di dunia, Indeks Daya Saing Global di tangga ke-12 teratas dunia dan peratusan pendapatan buruh mencapai 45 peratus daripada jumlah keseluruhan pendapatan.

Selain itu, kadar penyertaan wanita dalam tenaga buruh mencapai 60 peratus, Indeks Pembangunan Manusia di tangga 25 teratas dunia, Indeks Persepsi Rasuah di tangga 25 teratas dunia dan kemampanan fiskal dengan defisit fiskal mencapai tiga peratus atau lebih rendah.

Melihat garis penanda aras itu, hala tuju untuk negara membangun masih lagi jauh dan komponen-komponen lain juga perlu diperkasakan bagi mendukung usaha tersebut.

Ekosistem ekonomi halal adalah konteks penting yang perlu diberi penekanan bagi meningkatkan pendapatan rakyat terutama usahawan Melayu Islam. Selain itu, pemerkasaan digital juga perlu diberi perhatian kerana ia turut memainkan peranan dalam pertumbuhan sektor industri ekonomi halal negara.

Penggunaan teknologi digital antara elemen utama bagi meningkatkan aktiviti ekonomi usahawan tempatan, tambahan pula negara kita mempunyai rangkaian jalur lebar internet berkelajuan tinggi terutama di kawasan bandar.

Kerajaan sehingga kini telah berusaha memperkasakan jaringan digital di kawasan luar bandar dan pinggir bandar bagi tujuan pendidikan, ekonomi serta pembangunan masyarakat.

Melihat kepada kecanggihan sistem platform media sosial dan internet masa kini, kemahiran asas teknologi digital pastinya dapat membantu memperluaskan per-niagaan tempatan, bukan sahaja dalam negara, malah di peringkat luar negara.

Ia sekali gus mampu melonjak perubahan ekonomi dari pelbagai sudut sama ada pada tahap makro atau mikro. Sektor ekonomi halal dapat dipacu pada rangka yang lebih besar jika kerajaan menekankan usaha ke arah pembangunan industri tersebut kepada masyarakat di negara ini.

Pada 19 Oktober 2022, media melaporkan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, sektor ekonomi halal dapat menyumbang kira-kira 7.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia.

Menurut Mustapa, Malaysia sebagai sebuah negara terkemuka dalam dunia Islam mampu menawarkan banyak perkara terutama melibatkan amalan terbaik, perdagangan dan inovasi.

Malaysia ialah contoh bagi ekonomi halal dan berjaya menempatkan diri sebagai penggerak utama ekonomi halal global, malah berdasarkan Skor Penunjuk Ekonomi Islam Global (GIEI), Malaysia telah berada di kedudukan nombor satu selama sembilan tahun berturut-turut.

Negara kini menerajui kewangan Islam, makanan halal, pelancongan mesra Islam, sektor-sektor media serta rekreasi.

Jadi, rebutlah peluang dengan kebolehupayaan dan potensi industri ekonomi halal di Malaysia, seterusnya memperkasakan sektor tersebut dengan melatih lebih ramai usahawan Melayu Islam di negara ini.

Pada masa sama, teruslah menambah baik semua komponen ekosistem halal ke arah meningkatkan kedudukan Malaysia sebagai peserta utama dalam pasaran halal global.

* Mukhriz Mat Husin ialah wartawan Sinar Harian