Jangan musuhi penjawat awam

A
A
A

HARI ini genaplah setahun kerajaan Pakatan Harapan (PH) memerintah negara. Sepanjang setahun pelbagai perkara telah direkodkan yang akhirnya dijadikan pengukur prestasi PH sebagai parti pemerintah yang baharu.

Dengan pelbagai kontroversi dan isu yang mengisi tahun pertamanya, antara isu yang serius tetapi mendapat sedikit sahaja perhatian daripada masyarakat ialah kerjasama renggang dan kurang mesra antara kerajaan PH dengan penjawat awam semenjak pertukaran kerajaan Mei tahun lalu.

Ini diakui sendiri oleh bekas anggota Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin dalam temu bualnya dengan akhbar South China Morning Post Selasa lalu yang menggesa kerajaan PH supaya mempercayai penjawat awam dan perlu mula bekerjasama dengan kumpulan itu sekiranya ingin terus berkuasa.

Beliau menggunakan perkataan ‘akan mati’ bagi menggambarkan bahana yang menanti kerajaan PH sekiranya mereka tidak segera berbuat demikian.

Memang ada benarnya kata-kata Daim. Dilihat sepanjang setahun pemerintahan kerajaan PH, pelbagai isu yang timbul telah mengeruhkan hubungan kerajaan dan penjawat awam. Lihatlah bagaimana cadangan untuk mengurangkan penjawat awam yang diulang-ulang oleh kerajaan PH telah menakutkan mereka.

Malah, banyak tindakan kerajaan PH juga tidak pro dan mesra penjawat awam. Dari penamatan perjawatan bersifat kontrak dan penstrukturan semula beberapa agensi dan jabatan di bawah kementerian-kementerian tertentu oleh PH kelihatan seperti ‘memusuhi’ penjawat awam.

Malangnya perkara ini berterusan sehinggakan penjawat awam takut untuk memberi kerjasama kepada kerajaan baharu disebabkan perkara sedemikian. Itu belum kira lagi bagaimana keistimewaan dan kelebihan yang dinikmati semasa berkhidmat di bawah kerajaan terdahulu yang sudah tiada hari ini mula mencetus rasa tidak puas hati dan dirungut oleh penjawat awam.

Kerajaan PH sepatutnya sedar bahawa kunci kejayaan kepada sesebuah kerajaan terletak pada sinergi baik dan kerjasama erat di antara kerajaan dan penjawat awam.

Artikel Berkaitan:

Lihatlah bagaimana kerajaan Pas di Kelantan yang berjaya bertahan memerintah negeri itu walaupun dianaktirikan sekian lama oleh kerajaan Persekutuan, semuanya kerana kebijaksanaan dan kemampuan mereka bekerjasama rapat dengan pentadbiran negeri.

Kerajaan PH juga barangkali boleh merenung kembali bagaimana satu ketika dahulu, pendekatan mesra penjawat awam PKR di Selangor dan DAP di Pulau Pinang membolehkan kerajaan negeri-negeri itu ditadbir dengan baik tanpa ada sebarang unsur sabotaj dan khianat daripada mereka.

Tanpa sokongan kuat daripada mereka, sudah tentulah jentera pentadbiran negeri-negeri itu tidak akan mampu berfungsi dengan baik dan berkesan.

Harus diingat, walaupun kerajaan adalah pembuat dasar, tetapi yang melaksanakan dasar yang sudah dirancang adalah tugas penjawat awam. Dasar apa pun, waima sebaik mana ia direncanakan tidak akan berhasil tanpa adanya perlaksanaan yang cekap dan sempurna.

Jadi kalau kerajaan PH sekarang masih lagi tidak mampu membentuk kerjasama baik dengan penjawat awam setelah setahun memerintah, janganlah pula mengharap untuk menuai hasil yang baik daripada perancangan yang sudah direncanakan.

Penjawat awam ibarat tulang belakang kerajaan, tanpa kekuatan tulang ini, struktur anggota sesebuah kerajaan akan lemah dan mudah lentur. Jangan juga lupa bahawa mereka juga adalah pengundi. Maka bayangkan apa akan jadi kalau 1.6 juta penjawat awam memusuhi kerajaan PH.

Penjawat awam juga seharusnya profesional. Walaupun ini pengalaman pertama merasai dan mengalami perubahan kerajaan, hakikatnya perubahan kerajaan adalah sesuatu yang lumrah dalam konteks berkerajaan.

Siapa pun yang menjadi kerajaan, profesionalisme sebagai penjawat awam harus diutamakan. Penjawat awam wajib mengekalkan kesetiaan dan sentiasa taat kepada kerajaan yang memerintah atas prinsip neutral, tidak memihak dan sentiasa mampu membezakan antara tugasan rasmi dan hal peribadi.

Penjawat awam seharusnya mampu bekerjasama dengan kerajaan sebagai sebuah pasukan yang terbuka, tegas dan berani menegur demi kebaikan.

Hayatilah kata-kata hikmah Bapa Perpaduan kita, Allahyarham Tun Abdul Razak yang menggambarkan bagaimana hubungan antara kerajaan dan penjawat awam sepatutnya berlangsung sebagai pasukan yang sama-sama mentadbir sebuah kerajaan dalam tegurannya kepada penjawat awam:

“Sebagai penjawat awam, saya berharap anda akan berpendirian teguh terhadap kami ahli politik dan tidak membenarkan diri dikuasai oleh kami. Sebab dalam demokrasi sebenar, penjawat awam mempunyai tanggungjawab untuk dilaksanakan. Masa depan cara hidup demokrasi negara kita bergantung kepada anda”.

Ini adalah kerana akhirnya baik kerajaan mahupun penjawat awam, kedua-duanya adalah hamba rakyat yang dipilih oleh rakyat untuk rakyat dan bertanggung jawab menyelesaikan segala masalah yang mereka hadapi.

* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara Kampus Seremban