Isu kalimah ALLAH: Muhyiddin tidak hormati nasihat Majlis Raja-Raja

Saifuddin (kiri) dan Zamri (kanan) pada sidang akhbar pada Selasa.
Saifuddin (kiri) dan Zamri (kanan) pada sidang akhbar pada Selasa.
A
A
A

ALOR SETAR - Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail kesal dengan tindakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang masih menyentuh isu 3R (agama, bangsa, raja) dalam ceramah pilihan raya di Kapar, Klang, pada malam Ahad.

Beliau berkata, kedegilan pemimpin politik itu berterusan memainkan isu berkenaan disifatkan tidak menghormati nasihat Majlis Raja-Raja Melayu yang mahu isu kalimah ALLAH tidak lagi dipolitikkan.

Menurutnya, sikap Muhyiddin yang masih memainkan sentimen keagamaan biarpun dinasihati Majlis Raja-Raja menunjukkan pemimpin itu sanggup melakukan apa sahaja untuk meneruskan kelangsungan politik.

“Kabinet telah buat keputusan, kita akan angkat beberapa cadangan untuk adakan satu arahan pentadbiran baharu dikemukakan kepada Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam (MKI) dipengerusikan Sultan Selangor.

“MKI kemudian bentangkan kepada mesyuarat Majlis Raja-Raja akan datang. Sehingga tempoh itu, tidak dibenarkan lagi mempolitikkan isu berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Kedah pada Selasa.

Hadir sama calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Suka Menanti, Datuk Zamri Yusof.

Dalam ceramah berkenaan, Muhyiddin mendakwa isu kalimah ALLAH menggambarkan Kerajaan Perpaduan kini diterajui bukan Islam selain mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipengaruhi DAP susulan kerajaan tidak meneruskan rayuan di mahkamah berhubung kes kalimah ALLAH.

Saifuddin berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengemukakan cadangan menambah baik arahan pentadbiran susulan arahan sedia ada tidak lagi boleh digunakan.

“Asas keputusan mahkamah tinggi tempoh hari ialah kerana adanya percanggahan antara keputusan jemaah menteri dan KDN. Kabinet ketika itu (Tun Dr Mahathir Mohamad selaku perdana menteri) mengeluarkan ‘partial ban’, maksudnya penggunaan beberapa perkataan termasuklah perkataan ALLAH tertakluk kepada yang diletakkan di kulit hadapan untuk kegunaan Kristian dalam konteks Sabah dan Sarawak.

“Manakala KDN ketika itu membuat satu arahan pentadbiran yang mengenakan ‘total ban’,” jelasnya.

Menurutnya, keputusan berkenaan tidak pernah diubah oleh Muhyiddin selepas dilantik Perdana Menteri.

“Dari segi pelaksanaan, apabila penguatkuasaan dilakukan dan rampasan berlaku menyebabkan pihak terlibat mencabar di mahkamah. Percanggahan keputusan kabinet dengan arahan pentadbiran KDN menyebabkan keputusan kabinet dianggap terpakai, rampasan bahan tersebut dianggap tidak mengikut undang-undang,” ujarnya.

Saifuddin turut mempersoalkan tindakan Muhyiddin yang tidak meneruskan keputusan kabinet sebelum itu yang memutuskan ia dibuat secara penyelesaian luar mahkamah.

“Semasa Muhyiddin dan saya sebagai anggota jemaah menteri (2018) bawah pimpinan Dr Mahathir, kabinet buat keputusan kes-kes yang sedang dibicarakan di mahkamah berkait isu tersebut dibuat secara penyelesaian luar mahkamah.

“Keputusannya diusahakan secara berunding antara kerajaan dengan pihak yang membawa kes ke mahkamah. Malangnya Muhyiddin tidak hormati keputusan itu dan tidak berbuat apa-apa,” katanya lagi.

Menurutnya, tidak mustahil keengganan Muhyiddin menyelesaikan isu terbabit disebabkan beliau mempunyai agenda politik untuk terus memainkan sentimen agama.

“Beliau jelas tidak berniat mahu harmonikan kehidupan rakyat berbilang kaum. Seolah mahu tonjolkan diri sebagai jaguh membela umat Islam dan pertahankan akidah.

“Sedangkan hakim membuat keputusan penghakiman mereka tiada kaitan soal teologi atau akidah, sebaliknya persoalan timbul akibat percanggahan keputusan kabinet dan arahan pentadbiran,” ujarnya.

Mei lalu, media melaporkan KDN dan kerajaan Malaysia menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi bahawa penganut Kristian boleh guna kalimah ALLAH dan tiga perkataan Arab, iaitu Baitullah, kaabah dan solat dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pendidikan.

Notis pemberhentian rayuan semakan kehakiman itu difailkan Pejabat Peguam Negara di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan di Putrajaya pada 18 April lalu.

Antara lain, notis itu menyatakan KDN dan kerajaan Malaysia tidak berniat untuk meneruskan rayuan difailkan pada 12 Mac 2021 dan memberhentikan keseluruhan rayuan tanpa sebarang perintah terhadap kos.

Ia susulan keputusan Mahkamah Tinggi, 10 Mac 2021 membenarkan permohonan semakan kehakiman wanita Kristian, Jill Ireland Lawrence Bill yang mohon perisytiharan mengenai hak perlembagaannya berhubung penggunaan kalimah ALLAH dalam penerbitan agama berkenaan.