DAP tetap hormat kedudukan Islam, perkara asas Perlembagaan

Anthony Loke - FOTO SINAR HARIAN/MOHD HALIM ABD WAHID
Anthony Loke - FOTO SINAR HARIAN/MOHD HALIM ABD WAHID
A
A
A

PUTRAJAYA - Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook menegaskan pendirian bahawa parti tersebut akan tetap menghormati dan berpegang kepada Perlembagaan Persekutuan berkenaan kedudukan Islam, Raja-Raja Melayu dan Bahasa Melayu.

Menurut beliau, sehingga kini, DAP secara konsisten memberikan komitmen terhadap perkara tersebut dan tidak pernah sesekali mencabar Perlembagaan Persekutuan sejak penubuhan parti itu.

Jelasnya, ia merupakan sentimen yang hanya dimainkan oleh pihak tertentu terutama musuh politik parti tersebut dengan tujuan tidak baik.

“DAP sudah jadi ‘punching bag’ selama ini. Apabila mereka tidak bersama dengan kita atau kita tidak bersama dengan mereka, mereka akan gunakan hujah-hujah yang tidak berasas seperti ini.

“Hakikatnya, kita tidak pernah pun membantah apa-apa program ataupun dasar yang memperkasakan kedudukan Agama Islam. Saya sudah nyatakan berkali-kali bahawa DAP berpegang kepada Perlembagaan Persekutuan.

“DAP pun sudah memerintah kerajaan Pulau Pinang selama 15 tahun, adakah kita mencabar mana-mana satu peruntukan perlembagaan itu? Tidak,” katanya eksklusif kepada Sinar Harian pada Khamis.

Sebelum ini, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa DAP mahu menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara pelbagai kaum dengan agama rasmi digantikan kepada sekular.

Menurut Dr Mahathir, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terpaksa mengikuti manifesto parti itu supaya DAP tidak menarik diri daripada kerajaan ketika ini.

Tambah Anthony, rakyat terutama beragama Islam tidak perlu takut dengan DAP kerana parti tersebut menjalankan aktiviti politik berlandaskan kepada lunas perlembagaan dan undang-undang negara.

Beliau turut memaklumkan bahawa sekiranya DAP melawan atau menentang Islam sebagai agama Persekutuan, parti tersebut telah lama diharamkan oleh kerajaan terdahulu.

“Kalau DAP tidak menghormati perlembagaan, saya yakin sudah cukup asas untuk mengharamkan DAP, tetapi hakikatnya, tidak pernah diharamkan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

“DAP juga seperti parti politik lain yang diberikan hak berpersatuan. Kalau kita sebuah parti yang melawan Islam, mengapa kita boleh masuk bertanding pilihan raya sejak tahun 1969? Dan kita memenangi pilihan raya. Kedudukan DAP pada hari ini dalam kerajaan kerana kita ada memenangi kerusi di dewan rakyat.

“Kadang kala saya rasa hujah yang dimainkan itu tidak masuk akal. Semua parti yang sebut kita anti Islam ini pernah berkawan dengan kita. Pas, Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia), semua pernah bekerjasama,” katanya.