PRN: Amal politik matang, berkempen secara 'bersih'

Bendera parti bertanding pada Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN15) mula dipasang bagi menghangatkan suasana. - Foto Bernama
Bendera parti bertanding pada Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN15) mula dipasang bagi menghangatkan suasana. - Foto Bernama
A
A
A

PENAMAAN calon Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi enam negeri terlibat telah pun berlangsung pada Sabtu dan setiap parti telah menampilkan wajah-wajah bakal Yang Berhormat untuk dipilih oleh rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN).

Fasa berkempen secara rasmi telah bermula dan berharap agar setiap calon atau pemimpin yang membantu kempen lebih berhemah agar ia tidak dicemari dengan fitnah sehingga menimbulkan perpecahan kaum.

Menurut Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, setiap calon dinasihatkan agar menjaga adab dan mengelak menghina orang lain ketika berkempen.

Menurutnya, mereka juga perlu menjauhkan perbuatan memfitnah ketika berkempen apatah lagi perbuatan tersebut dilihat boleh memecah-belahkan perpaduan negara ini.

Individu yang bertanding perlu menjaga lisan masing-masing bagi mengelakkan fitnah sehingga menimbulkan sentimen kebencian terhadap kaum dan pengundi.

Berkempen secara bersih tanpa menyentuh isu sensitif merupakan politik matang yang perlu dilakukan oleh setiap individu yang bertanding.

Rakyat sentiasa memerhati dan setiap calon perlu membuktikan mereka mampu menjadi pemimpin di kawasan tersebut dan bukan menjadi jaguh kampung yang hanya pandai bercakap sahaja ibarat menanam tebu di tepi bibir.

Sementara itu, Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengkritik kerajaan yang didakwa memberi wang sogokan kepada pengundi.

Ia susulan pengumuman Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersetuju memperuntuk geran tambahan sebanyak RM100,000 kepada Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) bagi tujuan pembangunan aktiviti golongan itu di Terengganu.

Walaupun begitu, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya melihat pemberian itu sebagai inisiatif yang difikirkan wajar untuk rakyat.

Tindakan memberi wang sogokan sempena PRN perlu dihapuskan bagi membentuk pemimpin yang berintegriti.

Prinsip ‘cash is king’ tidak wajar digunakan walaupun terdapat dakwaan mengatakan pemberian itu bukan sebagai ‘gula-gula’ kepada pengundi tidak seharusnya berlaku dalam era Kerajaan Perpaduan yang selama ini menentang pemberian wang semasa kempen pilihan raya.

Naratif itu perlu dihentikan bagi memastikan negara ini bersih daripada aktiviti sogokan atau derma oleh segelintir ahli politik sempena PRN ini.

Nilai integriti negara itu dipacu oleh pemimpin yang mempunyai prinsip teguh dan telus dalam menjalankan tugas, bukan sekadar menabur janji tetapi tidak melaksanakan sebarang perubahan yang dijanjikan.

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PN) di enam negeri di sini!