PRN: Terbang dron tanpa kebenaran, PDRM tahan empat individu

Penerbangan dron tanpa kelulusan dilarang sepanjang PRN. - Foto hiasan
Penerbangan dron tanpa kelulusan dilarang sepanjang PRN. - Foto hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan empat juruterbang dron yang menerbangkan alatan berkenaan tanpa kelulusan semasa hari penamaan calon semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Kapten Norazman Mahmud berkata, penahanan itu dibuat kerana mereka menerbangkan dron di kawasan tumpuan orang ramai.

“Kini CAAM bersama PDRM sedang menjalankan siasatan berikutan salah satu daripada empat kes yang dilaporkan telah menyebabkan berlakunya insiden kemalangan.

“Insiden berkenaan membabitkan penggunaan dron pertanian yang jatuh dan mencederakan orang awam sehinggakan mangsa dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Pada 29 Julai, Sinar Harian melaporkan, Polis Kedah mengesan dua kes menerbangkan dron dengan satu daripadanya jatuh menimpa penyokong pada hari penamaan calon sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Norazman memberitahu bahawa kes berkenaan disiasat di bawah seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dengan sengaja.

Katanya, jika disabitkan kesalahan boleh membawa hukuman penjara.