Rampasan wang RM38 juta, emas 200kg: Ahli politik, perniagaan dalam radar SPRM

Laporan Sinar Harian baru-baru ini mengenai tangkapan ahli perniagaan dengan rampasan wang tunai, emas dan kenderaan mewah.
Laporan Sinar Harian baru-baru ini mengenai tangkapan ahli perniagaan dengan rampasan wang tunai, emas dan kenderaan mewah.
A
A
A

SHAH ALAM - Terdapat beberapa individu berprofil tinggi dalam radar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk siasatan babit sindiket rasuah, pecah amanah, penyeludupan barang haram serta pengurangan cukai tidak sah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan perkara ini.

"Memang ada beberapa individu berprofil tinggi membabitkan ahli politik serta ahli perniagaan akan disiasat dan dipanggil untuk dirakam keterangan.

"Mereka akan dipanggil bagi membantu siasatan berhubung harta-harta dan perbelanjaan mencurigakan yang dikesan baru-baru ini," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Beliau berkata, mengenai rampasan pelbagai barangan tempoh hari, SPRM masih menganalisa hasil sitaan emas, wang tunai, wang dalam bank untuk mengetahui bagaimana ia diperolehi.

Tambahnya, setakat ini seramai 25 saksi telah dipanggil untuk membantu siasatan.

Katanya, siasatan turut dijalankan mengikut Akta Percukaian 1967 dan Akta Kastam 1967 yang disiasat oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

24 Julai lalu, Pasukan Petugas Agensi-Agensi Penguatkuasa Malaysia (MATF) yang diketuai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang ahli perniagaan bergelar Datuk dan sekutunya dalam satu operasi besar-besaran di 34 lokasi sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.

Dalam serbuan itu, MATF turut menyita wang tunai kira-kira RM38 juta, emas dianggarkan 200 kilogram bernilai kira-kira RM60 juta selain 17 kereta mewah antaranya berjenama Maserati, Ferrari dan Mercedes Benz.

Kes disiasat di bawah Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Op 82S itu dijalankan dengan kerjasama enam agensi penguatkuasaan lain iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Bank Negara Malaysia (BNM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Cyber Security Malaysia (CSM).

ARTIKEL BERKAITAN: Ahli perniagaan bergelar Datuk ditahan, wang tunai RM38 juta, emas 200kg disita