Maritim Malaysia terima penghargaan daripada BAKAMLA

Aan Kurnia (kiri) menyampaikan surat/sijil penghargaan kepada Maritim Malaysia yang diwakili Komander (M) Syuzefril Mat Noor. - Foto: Maritim Johor
Aan Kurnia (kiri) menyampaikan surat/sijil penghargaan kepada Maritim Malaysia yang diwakili Komander (M) Syuzefril Mat Noor. - Foto: Maritim Johor
A
A
A

JOHOR BAHRU - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), menerima penghargaan daripada Badan Keamanan Laut Republik Indonesia (BAKAMLA) atas bantuan menahan sebuah kapal tangki berdaftar dari Iran yang disyaki melakukan pemindahan minyak secara haram di perairan Indonesia Julai lalu.

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Penyelarasan Maritim (BPPM), Laksamana Muda Maritim Aminuddin Abdul Rashid berkata, sebagai agensi penguatkuasaan yang menjaga keselamatan di laut, Maritim Malaysia akan sentiasa bekerjasama dengan pasukan keselamatan dari negara jiran sekiranya diperlukan.

“Dalam soal keselamatan negara, kita sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana pasukan keselamatan walau pun dari negara jiran.

“Kerjasama berkenaan secara keseluruhannya bertujuan bagi memastikan kawasan perairan sempadan negara sentiasa terpelihara daripada segala ancaman jenayah khususnya melibatkan jenayah rentas sempadan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita setelah mewakili Maritim Malaysia menerima surat/sijil penghargaan daripada Kepala BAKAMLA, Laksamana Madya TNI Dr Aan Kurnia pada Sabtu.

Untuk rekod, pada 7 Julai lalu, setelah menerima permohonan bantuan daripada pihak BAKAMLA, Maritim Malaysia telah mengatur gerak sebuah pesawat AW139 bersama tujuh anggota Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR TEAM) Maritim Malaysia bagi memintas dan menahan kapal tangki terbabit yang telah memasuki perairan Malaysia.

Hasil tindakan pantas itu, Maritim Malaysia berjaya menahan 28 anak kapal warga Syria dan tiga penumpang lain bersama lebih 200,000 tan metrik minyak mentah yang telah di seludup dari Indonesia.

Kesemua tahanan termasuk minyak mentah berkenaan kemudiannya telah diserahkan pihak BAKAMLA untuk tindakan selanjutnya.

Mengulas mengenai penghargaan yang diterima, Aminuddin berkata, kejayaan operasi berkenaan telah menunjukkan pihak Maritim Malaysia sedia bekerjasama dengan agensi-agensi penguat kuasa dari negara jiran bagi membanteras kegiatan jenayah, khususnya di sempadan perairan negara.

Katanya, kesemua perkara itu bertujuan bagi memastikan kawasan perairan sempadan sentiasa terjaga daripada segala ancaman jenayah khususnya jenayah rentas sempadan (perairan).

“Kejayaan operasi berkenaan menunjukkan Maritim Malaysia bersama-sama agensi penguat kuasa sahabat dari negara jiran seperti BAKAMLA akan sentiasa bekerjasama dalam menjaga keamanan dan kesejahteraan perairan di rantau ini,” katanya.