Datuk Malik beri kerjasama siasatan kes rasuah

Datuk Malik (kanan) memuat naik kenyataan di Instagramnya pada Jumaat susulan siasatan SPRM terhadapnya baru-baru ini.
Datuk Malik (kanan) memuat naik kenyataan di Instagramnya pada Jumaat susulan siasatan SPRM terhadapnya baru-baru ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Datuk Abdul Malik Dasthigeer atau dikenali sebagai 'Datuk Malik' akan memberikan kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melibatkan siasatan berkaitan dakwaan rasuah, pecah amanah, penyeludupan barang-barang haram dan pengurangan cukai tidak sah.

Pengasas dan pengerusi Malik Group of Companies itu berkata, beliau telah memberikan pendedahan penuh mengenai perkara itu.

"Saya akan membantu memberikan maklumat diperlukan dalam siasatan kes tersebut dan akan terus memberikan semua maklumat yang diperlukan untuk membantu (menyelesaikan) kes itu.

“Terima kasih kepada mereka yang telah menyatakan sokongan kepada saya," katanya menerusi ucapan di Instagram peribadi miliknya pada Jumaat.

Abdul Malik turut mengharapkan yang terbaik agar keadilan dapat ditegakkan.

Abdul Malik dikenali kerana membawa artis dari India untuk mengadakan konsert Tamil di Malaysia.

Syarikatnya terdiri daripada Malik Streams Corporation Sdn Bhd, Malik Maju Sdn Bhd, Malik Streams Properties Sdn Bhd, Malik Streams Antenna Movies Sdn Bhd, dan Malik Streams Production & Distribution.

Selasa lalu, Sinar Harian melaporkan seorang ahli perniagaan bergelar Datuk dan sekutunya ditahan dengan wang tunai RM38 juta, emas seberat anggaran 200 kilogram bernilai kira-kira RM60 juta serta 17 kereta mewah antaranya berjenama Maserati, Ferrari dan Mercedes Benz dalam Op 82S yang diadakan besar-besaran.

Operasi pada Isnin itu dijalankan Pasukan Petugas Agensi-Agensi Penguatkuasa Malaysia - Multi Agency Task Force (MATF) yang diketuai oleh SPRM.

Serbuan di 34 lokasi di Kuala Lumpur dan Selangor itu sekali gus melumpuhkan satu sindiket rasuah, pecah amanah, penyeludupan barang-barang haram dan pengurangan cukai tidak sah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, kes disiasat mengikut Akta SPRM 2009, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001, Akta Percukaian 1967 dan Akta Kastam 1967.