Tawaran pengakuan bersalah Hunter Biden di ambang kegagalan

Tawaran pengakuan bersalah Hunter Biden (kanan) terhadap pertuduhan salah laku percukaian berada di ambang kegagalan selepas pihak pendakwaan dan pembelaan tidak dapat bersetuju sejauh mana terma perjanjian akan melindungi anak Presiden Amerika Syarikat (AS) daripada pendakwaan bagi jenayah lain. - Foto AFP
Tawaran pengakuan bersalah Hunter Biden (kanan) terhadap pertuduhan salah laku percukaian berada di ambang kegagalan selepas pihak pendakwaan dan pembelaan tidak dapat bersetuju sejauh mana terma perjanjian akan melindungi anak Presiden Amerika Syarikat (AS) daripada pendakwaan bagi jenayah lain. - Foto AFP
A
A
A

PHILADELPHIA - Tawaran pengakuan bersalah Hunter Biden terhadap pertuduhan salah laku percukaian berada di ambang kegagalan selepas pihak pendakwaan dan pembelaan tidak dapat bersetuju sejauh mana terma perjanjian akan melindungi anak Presiden Amerika Syarikat (AS) daripada pendakwaan bagi jenayah lain, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Perselisihan antara peguam Biden dan pendakwa raya terbongkar di bawah pertanyaan agresif Hakim Daerah AS Maryellen Noreika semasa perbicaraan di Wilmington.

Beliau menyatakan tawaran itu melindungi Biden daripada pendakwaan untuk sebarang kelakuan yang diterangkan dalam perjanjian yang kebanyakannya memperincikan kegagalannya membayar cukai pada 2017 dan 2018.

Tetapi Noreika menyatakan tawaran itu menyebut sebahagian daripada pendapatan itu datang daripada entiti asing.

Hakim bertanya sama ada tawaran pengakuan bersalah itu contohnya, melindungi Biden daripada pertuduhan yang berkaitan dengan entiti tersebut, seperti pertuduhan hipotesis kerana gagal mendaftar sebagai ejen asing.

Pendakwaraya berkata tidak. Peguam Biden, Christopher Clark bagaimanapun tidak bersetuju.

Oleh kerana Noreika menegaskan bahawa mereka mesti bersetuju terlebih dahulu mengenai implikasi sebarang tawaran sebelum beliau menerima pengakuan Biden, pendakwa raya Leo Wise menjawab: "Kalau begitu tiada perjanjian."

Clark bersetuju, menyifatkan tawaran pada ketika itu sebagai "batal dan tidak sah".

Tetapi Clark meminta hakim untuk beberapa minit lagi untuk melihat sama ada beliau boleh menyelesaikan perbezaannya dengan kerajaan sebelum membatalkan pengakuan bersalah yang diharapkan Biden.

Hakim telah memberikan kedua-dua pihak berehat - yang kedua setakat ini - untuk melihat sama ada mereka boleh mencapai persefahaman baharu. - Bernama-dpa