Bekas timbalan pengarah DBKL didapati bersalah dua tuduhan rasuah

Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis mendapati Sabudin bersalah atas dua pertuduhan memperoleh suapan berjumlah RM200,000 bagi mengeluarkan permit kerja.
Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis mendapati Sabudin bersalah atas dua pertuduhan memperoleh suapan berjumlah RM200,000 bagi mengeluarkan permit kerja.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis mendapati bekas Timbalan Pengarah Kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Sabudin Mohd Salleh bersalah atas dua pertuduhan memperoleh suapan berjumlah RM200,000 bagi mengeluarkan permit kerja.

Hakim K.Muniandy membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen pada 15 September 2022, yang membebaskan Sabudin, 61, daripada kedua-dua pertuduhan rasuah itu pada akhir kes pembelaan.

Beliau menetapkan 15 Ogos ini untuk mendengar rayuan tertuduh bagi hukuman yang ringan sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman.

Dalam penghakimannya, Muniandy berkata, hakim Mahkamah Sesyen telah terkhilaf berhubung undang-undang yang terpakai kepada keterangan saksi pendakwaan ketiga yang bagi semua maksud tidak boleh dianggap sebagai rakan sejenayah menurut Seksyen 52 (1) (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Walaupun saksi itu yang memberi rasuah, ia berlaku kerana tuntutan yang dibuat oleh tertuduh untuk mendapatkan tajaan semasa saksi itu menemuinya untuk mengadu belum mendapat kontrak kerja lagi.

"Oleh itu, dapatan hakim Mahkamah Sesyen tidak disokong oleh bukti, keputusan yang dibuat bercanggah dengan bukti. Mahkamah mendapati tiada penilaian kehakiman yang sewajarnya terhadap keterangan,” katanya sambil menambah kehadiran saksi itu pada majlis resepsi perkahwinan anak tertuduh hanya menyebabkan tertuduh lebih berkemungkinan mengenalinya.

Menurut hakim, bayaran yang dibuat adalah untuk kerja kontrak yang dianugerahkan kepada saksi itu yang dibuktikan dengan kewujudan dokumen kontrak penting, seperti Permit Kerja dan Sijil Pembayaran Kemajuan yang telah mendapat kelulusan tertuduh.

Hakim itu berkata, berdasarkan kekhilafan hakim Mahkamah Sesyen, mahkamah wajar campur tangan untuk membetulkannya semasa rayuan.

"Berdasarkan alasan itu, mahkamah ini memutuskan untuk membenarkan rayuan pendakwaan, sekali gus mengetepikan perintah melepas dan membebaskan serta menggantikannya dengan keputusan bersalah dan sabitan atas dua pertuduhan terhadap tertuduh di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM mengikut Seksyen 316 (a) Kanun Tatacara Jenayah,” katanya.

Pada 18 Disember 2020, Mahkamah Sesyen membebaskan Sabudin daripada dua pertuduhan itu pada akhir kes pendakwaan.

Bagaimanapun, Sabudin diperintahkan membela diri atas kedua-dua pertuduhan itu selepas Mahkamah Tinggi pada 24 Mac 2022, membenarkan rayuan pendakwaan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Sabudin yang ketika itu timbalan pengarah kanan di Jabatan Kejuruteraan Awam dan Pengangkutan Bandar DBKL didakwa memperoleh suapan iaitu wang tunai berjumlah RM200,000 daripada Wong May Kuan, subkontraktor kepada Dusari Niaga yang melaksanakan kerja-kerja penurapan semula jalan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bagi tahun 2018/2020 (2017/A214) sebagai upah mengeluarkan permit kerja kepada Dusari Niaga.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di dalam kedai serbaneka di sebuah stesen minyak, Jalan Lingkaran Tengah 2, Bukit Antarabangsa di sini dan di hadapan kediamannya di Ukay Perdana, Ampang, masing-masing pada 9 Jun 2018 dan 17 Januari 2019.

Pertuduhan mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta yang sama, yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin manakala Sabudin diwakili peguam K.Theivaendran. - Bernama