RM4.8 juta baik pulih klinik desa, klinik kesihatan di Johor, kata Exco

Mohd Khuzzan (dua dari kiri) melawat dan memeriksa HSNI Batu Pahat semalam.
Mohd Khuzzan (dua dari kiri) melawat dan memeriksa HSNI Batu Pahat semalam.
A
A
A

BATU PAHAT - Semua premis klinik desa dan klinik kesihatan di Johor akan dipastikan berada dalam keadaan baik dan selamat.

Exco Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan Johor, Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata, kerajaan negeri mengarahkan supaya pemeriksaan dilakukan dan buat permulaan, pemeriksaan pendawaian elektrik klinik desa yang berusia lebih 30 tahun akan dilakukan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

“Sebelum ini ada klinik berusia lebih 30 tahun tidak diselenggara sistem pendawaiannya dan mungkin sudah tidak sesuai digunakan lagi sehinggakan tidak boleh menampung peralatan-peralatan kesihatan yang ada.

“Jadi, pemeriksaan terperinci akan dilakukan sama ada terdapat keperluan untuk klinik-klinik ini mempunyai sistem pendawaian baharu dan saya juga akan meminta pengurusan klinik nyatakan keperluan mereka untuk diteliti terlebih dahulu,” katanya.

Beliau berkata pada sidang media selepas melawat dan memeriksa Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat, semalam.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ), Dr Selahuddeen Abd Aziz dan Pengarah HSNI, Dr Azimah A Aziz.

Menurutnya, kerajaan negeri turut menyediakan peruntukan sebanyak RM4.8 juta untuk membaiki atau melakukan kerja-kerja baik pulih pendawaian elektrik dengan mendahulukan klinik yang mempunyai sistem pendawaian yang agak kritikal.

Katanya, selain mengadakan pemeriksaan, beliau juga akan melakukan pemeriksaan dan pemantauan kemudahan yang terdapat di hospital kerajaan.

Artikel Berkaitan:

“Saya dan Pengarah JKNJ akan adakan lawatan dan pemeriksaan mengejut di hospital dalam masa terdekat dan HSNI merupakan lawatan pertama.

“Kita mahu melihat sendiri operasi harian di sesebuah hospital selain keperluan yang diperlukan terutama di hospital yang mempunyai bangunan lama dan bukannya bertujuan mencari salah hospital,” katanya.

Menurutnya, seperti di HSNI, beliau mendapati bangunan lama hospital yang menempatkan wad pesakit mempunyai beberapa masalah seperti pendingin hawa yang tidak berfungsi, tiada sinki selain terdapat beberapa peralatan yang perlu dilupus, tetapi masih digunakan.

Katanya, sejak beliau memegang portfolio kesihatan bermula 22 April lalu, komitmen utama pihaknya adalah menambah baik mutu perkhidmatan kesihatan di negeri ini demi kebaikan semua pihak.