Suami orang bersekedudukan dengan janda hingga lahirkan anak

Hubungan sulit seorang suami orang dengan janda akhirnya terbongkar selepas pasangan itu dicekup berkhalwat di sebuah rumah sewa.
Hubungan sulit seorang suami orang dengan janda akhirnya terbongkar selepas pasangan itu dicekup berkhalwat di sebuah rumah sewa.
A
A
A

KLUANG - Hubungan sulit seorang suami orang dengan janda akhirnya terbongkar selepas pasangan itu dicekup berkhalwat di sebuah rumah sewa di daerah ini.

Lebih mengejutkan, lelaki berusia lingkungan 50-an itu mengaku mempunyai hubungan terlarang dengan wanita berusia 30-an terbabit sehingga menyebabkan wanita itu mengandung dan melahirkan seorang bayi.

Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) berkata, ketika disoal siasat lelaki itu mendakwa wanita terbabit bakal isterinya, namun tiada sebarang permohonan pernikahan dibuat setakat ini.

"Dia mengaku pernah melakukan hubungan dengan wanita itu beberapa kali di rumah berkenaan sebelum ini sehingga menyebabkan kehamilan.

"Bagaimanapun, ketika serbuan dilakukan, mereka masih bukan pasangan suami isteri yang sah," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, bayi terbabit turut ditemui sedang tidur di dalam bilik ketika pemeriksaan dijalankan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).

"Semakan mendapati dokumen kelahiran bayi berkenaan hanya mempunyai nama ibu tanpa nama bapa.

"Lelaki itu kemudian mengaku bertanggungjawab menyebabkan wanita terbabit mengandung dan melahirkan anak," katanya.

Jelas beliau, serbuan dilakukan pada kira-kira jam 1.15 pagi, baru-baru ini selepas JAINJ menerima aduan mengenai pasangan terbabit.

Artikel Berkaitan:

"Penguat kuasa yang tiba di lokasi mendapati sebuah kereta dipercayai milik lelaki itu berada di tempat letak kenderaan sebelum menuju ke rumah berkenaan.

"Pintu dan gril rumah didapati tertutup dan ketukan serta salam diberikan beberapa kali, namun tiada respons," katanya.

Jelas JAINJ, selepas lebih 25 minit, lelaki terbabit akhirnya membuka pintu selepas penguat kuasa memberi amaran untuk membuka pintu secara paksa.

"Lelaki itu memberi alasan tidak mendengar ketukan kerana sedang tidur sebelum penguat kuasa memperkenalkan diri dan menunjukkan kad kuasa.

"Dia kemudian mengakui berada bersama wanita berkenaan yang didakwanya sebagai bakal isteri," katanya.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut di sebuah bilik menemui wanita terbabit sedang berada di atas katil bersama bayi berkenaan.

"Lelaki itu turut merayu supaya tidak ditahan. Bagaimanapun, penguat kuasa meneruskan tindakan mengikut peruntukan undang-undang.

"Pasangan itu disiasat siasatan mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997 kerana khalwat dan Seksyen 23 enakmen sama," ujarnya.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!