Kes rasuah Adam Radlan RM4.1 juta dipindahkan ke KL

Adam Radlan
Adam Radlan
A
A
A

SHAH ALAM - Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat, membenarkan dua kes rasuah membabitkan Timbalan Ketua Bahagian Segambut, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Adam Radlan Adam Muhammad berkaitan Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa) dipindahkan ke dua Mahkamah Sesyen berasingan di Kuala Lumpur.

Di Shah Alam, Adam Radlan berdepan dua kes menerima suapan masing-masing RM2 juta dan RM2.1 juta manakala di Kuala Lumpur atas tiga pertuduhan, iaitu meminta suapan 3.5 hingga tujuh peratus nilai projek, meminta RM2 juta dan menerima RM500,000.

Hakim Rozilah Salleh memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan daripada Timbalan Pendakwa Raya, Maziah Mohaide dan Mohamad Fadly Mohd Zamry.

Rozilah juga membenarkan jaminan dan syarat-syarat tambahan bagi kedua-dua kes dipindahkan serta menetap 29 Mei untuk sebutan semula kes di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi dan Suzana Hussain.

Semasa prosiding, Maziah berkata, mereka memohon kedua-dua kes di sini dipindahkan ke Kuala Lumpur untuk dibicara bersama.

Beliau berkata, mahkamah mempunyai kuasa untuk memindahkan kes mengikut Seksyen 99 A, 104 Akta Mahkamah Rendah 1948 dan jadual 3(2) akta sama.

"Kes di mahkamah ini merupakan lanjutan berkaitan kes sama di Kuala Lumpur maka, jika kes dipindahkan, ia tidak mengundang prejudis kepada tertuduh," katanya.

Sementara itu, Mohamad Fadhly berkata, pertuduhan di Mahkamah Shah Alam dan Kuala Lumpur dikatakan dilakukan dalam satu transaksi yang sama kerana ia melibatkan syarikat, pertuduhan serta saksi serupa.

Peguam, Datuk Seri Rajan Navaratnam, yang mewakili Adam Radlan kemudiannya tidak membantah permohonan berkenaan.

Pada 21 Februari lalu, Adam Radlan dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, atas tuduhan meminta suapan iaitu wang tunai sejumlah 3.5 hingga tujuh peratus nilai projek yang akan diperoleh daripada Mat Jusoh Mamat merupakan Pengarah Urusan syarikat MIE Infrastructure & Energy Sdn Bhd.

Pemimpin politik itu turut didakwa menerima suapan, RM500,000 ke akaun CIMB Bank Berhad miliknya daripada individu sama sebagai upah kerana membantu syarikat tersebut mendapatkan surat sama bagi Projek Membina Jalan Sungai Adam ke Kampung Banat, Perlis daripada Kerajaan Malaysia secara rundingan terus yang jumlah keseluruhannya bernilai RM47.8 juta.

Keesokan hari, beliau didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam, atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM4.1 juta berhubung projek Jana Wibawa.

Pada 28 Februari lalu, ahli perniagaan itu dituduh buat kali ketiga di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan meminta rasuah RM2 juta, tahun lalu.