Yayasan Pahang belanja RM12.25 juta untuk BKMB

Wan Rosdy menyerahkan anugerah BKMB kepada Nik Hadif Darwisy Mohd Hazaki, salah seorang daripada empat penerima biasiswa itu tahun ini pada Majlis Kecemerlangan Pendidikan Yayasan Pahang di sini pada Khamis.
Wan Rosdy menyerahkan anugerah BKMB kepada Nik Hadif Darwisy Mohd Hazaki, salah seorang daripada empat penerima biasiswa itu tahun ini pada Majlis Kecemerlangan Pendidikan Yayasan Pahang di sini pada Khamis.
A
A
A

KUANTAN - Yayasan Pahang membelanjakan RM12.25 juta untuk anugerah Biasiswa Kecemerlangan Menteri Besar (BKMB) kepada 101 penerima sejak inisiatif itu diperkenalkan pada 1998, sehingga tahun lalu.

Biasiswa paling berprestij di negeri Pahang itu dianugerahkan kepada pelajar paling cemerlang dalam peperiksaan awam peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), selain aktif dalam kegiatan kokurikulum.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pemberian BKMB diteruskan apabila empat pelajar terpilih menerima anugerah itu tahun ini.

Menurutnya, penerima BKMB akan menerima sijil kecemerlangan dan wang tunai RM1,000 dengan tajaan penuh biasiswa sehingga peringkat pengajian tertinggi doktor falsafah (PhD).

"Tajaan meliputi yuran pengajian, sara hidup, komputer riba, buku, tesis, kertas projek dan keperluan lain.

"Nilai tajaan yang ditawarkan BKMB lebih tinggi berbanding kebanyakan biasiswa atau pinjaman pendidikan sedia ada bagi melanjutkan pengajian hingga peringkat PhD di institusi pengajian tinggi (IPT) dalam negara yang diiktiraf kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Kecemerlangan Pendidikan Yayasan Pahang yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pahang, Datuk Indera Mahmud Mohd Nawawi di sini pada Khamis.

Pada majlis itu, Wan Rosdy turut menyampaikan sumbangan pelajar cemerlang Orang Asli bagi peperiksaan Sijil Menengah Agama (SMA) 2022.

Nur Dalilah Abdul Malik, 17, dari Sekolah Menengah Agama (SMA) Al-Ulum Addiniah, Dong Raub merupakan pelajar Orang Asli pertama di negeri ini memperoleh keputusan cemerlang mumtaz sofi bagi 10 mata pelajaran dan hafazan 11 juzuk al-Quran.

Nur Dalilah, penerima anugerah pelajar cemerlang Orang Asli apabila memperoleh keputusan cemerlang mumtaz sofi bagi 10 mata pelajaran pada peperiksaan Sijil Menengah Agama (SMA) 2022.
Nur Dalilah, penerima anugerah pelajar cemerlang Orang Asli apabila memperoleh keputusan cemerlang mumtaz sofi bagi 10 mata pelajaran pada peperiksaan Sijil Menengah Agama (SMA) 2022.

Sumbangan kecemerlangan mencapai sasaran petunjuk prestasi utama (KPI) bagi Program Baca Cepat Kawanku (BCK) 2022 turut disampaikan pada majlis sama.

Mengulas lanjut, Wan Rosdy berkata, BCK yang merupakan program kolaboratif antara Yayasan Pahang, Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) itu dilaksanakan bagi membantu meningkatkan kadar celik huruf murid di sekolah rendah murid Orang Asli luar bandar seawal Tahun Satu.

"BCK bermula secara rintis pada 2018 di daerah Kuantan sebelum diperkenalkan ke sekolah-sekolah rendah di seluruh negeri Pahang.

"Sehingga kini terdapat 12 sekolah murid Orang Asli luar bandar di daerah Lipis, Jerantut, Maran, Temerloh, Bentong dan Cameron Highlands yang terlibat dengan program ini.

"Tiga sekolah mencapai KPI lebih 90 peratus murid iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Teluk Sentang, Temerloh (100 peratus), SK Kuala Sentul, Maran (94 peratus) SK LKTP Tekam Utara, Jerantut (94 peratus)," jelasnya.

Beliau berkata, sejak ditubuhkan pada 1982 hingga tahun lalu, Yayasan Pahang membelanjakan RM1.47 bilion untuk 18 juta anak Pahang dalam pelbagai program pendidikan dan kemasyarakatan meliputi pelbagai peringkat.