Rugi lebih RM350,000 terpedaya skim pelaburan

Gambar hiasan - Foto 123rf
Gambar hiasan - Foto 123rf
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang wanita warga tempatan kerugian sehingga RM350,793.71 kerana terpedaya dengan skim pelaburan yang dikenali sebagai ‘C CHARGE’, tahun ini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner M S Balveer Singh berkata, pihaknya, menerima laporan berkaitan kejadian yang menimpa wanita berusia 47 tahun itu pada 15 Jun lepas, kira-kira pukul 12.49 tengah hari.

"Berdasarkan siasatan, skim pelaburan ini mula beroperasi sejak Mac 2023 dan menawarkan pulangan sebanyak 100 peratus daripada jumlah wang yang dilaburkan oleh mangsa.

"Bagaimanapun, setelah mangsa membuat pindahan wang keuntungan yang dijanjikan tidak dibayar,” kata beliau dalam satu kenyataan pada Khamis.

Susulan daripada itu, beliau berkata pihaknya telah menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 48 tahun, yang merupakan pemilik akaun bank yang menerima pindahan wang daripada mangsa bagi kes ini, Selasa lepas (25 Julai).

Balveer Singh berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan sebatan, dan boleh juga didenda. - Bernama