SEGiM timbul kegusaran, penyelesaian jangka panjang

Wan Agyl dalam Wacana Sinar Siri 407 yang bertajuk SEGiM: Untuk Siapa? yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini pada Selasa.
Wan Agyl dalam Wacana Sinar Siri 407 yang bertajuk SEGiM: Untuk Siapa? yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM) merupakan inisiatif yang baik oleh kerajaan namun menimbulkan kegusaran kerana lebih kepada penyelesaian jangka panjang.

Bekas Ketua Bahagian Polisi dan Perancangan, Kumpulan Operasi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Wan Agyl Wan Hassan berkata, usaha itu akan menjadi kurang berkesan jika tidak ada penyelesaian masalah jangka pendek dan sederhana.

"Saya merasakan ia inisiatif yang baik kerana menunjukkan komitmen kerajaan menyelesaikan masalah dihadapi oleh pemain-pemain industri terutama pemandu e-hailing dan rider penghantar makanan cuma menjadi sedikit kegusaran ialah apakah perancangan sebenar kerajaan.

"Ini kerana apa yang kita lihat penubuhan suruhanjaya tersebut lebih kepada penyelesaian jangka panjang namun ia tidak akan menyelesaikan masalah hari ini.

"Kerajaan seharusnya melihat kepada kesan jangka pendek dan juga penyelesaian jangka sederhana yang boleh dibuat dalam kapasiti yang sedia ada sebelum menghala ke SEGiM," katanya.

Beliau berkata demikian dalam Wacana Sinar Siri 407 yang bertajuk SEGiM: Untuk Siapa? yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini pada Selasa.

Program itu dihoskan Ismail Adnan dan turut menampilkan tiga panelis lain iaitu Ketua Aktivis E-Hailing Malaysia, Jose Rizal dan Penganalisis Ekonomi, Dr Baayah Baba.

Tambah Wan Agyl, lebih baik semua pihak menyasarkan tumpuan untuk menyelesaikan masalah bukan sekadar menubuh SEGiM.

Dalam pada itu, beliau juga berharap Majlis Sekretariat Komuniti GiG akan menilai semula penyelesaian yang akan dicadangkan dengan mengambil kira permasalahan utama yang menyebabkan pemandu E-hailing dan pemain industri menderita.

"Dari pemerhatian kami masalah yang dihadapi adalah keselamatan dan sekuriti sosial kerana mereka ini tidak duduk sama tinggi dan rendah dengan pekerja tetap, sambilan dan kontraktor lain.

"Jadi macam mana kerajaan nak menyelesaikan dua isu pokok berkenaan," ujarnya.