Cari jalan bantu, bukan sensasikan isu: MB Perak

Ahmad Faizal (tengah) pada sidang media menjelaskan mengenai dakwaan kanak-kanak orang asli di Gerik kekurangan nutrisi akibat aktiviti pembalakan.
Ahmad Faizal (tengah) pada sidang media menjelaskan mengenai dakwaan kanak-kanak orang asli di Gerik kekurangan nutrisi akibat aktiviti pembalakan.
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak meminta pihak media atau mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) melaporkan isu membabitkan masalah kekurangan nutrisi terhadap kanak-kanak orang asli kepada agensi berkaitan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pihak NGO seharusnya membantu mencari jalan penyelesaian berbanding mensensasikan isu tersebut yang hanya akan menimbulkan panik.

Menurutnya, sehingga kini kerajaan negeri tidak menerima sebarang maklumat mengenai isu tersebut.

"Lebih mereka mencari jalan membantu bukan mensensasikan berita itu. Lebih baik jika benar mereka mendapat maklumat tentang kekurangan khasiat kepada anak-anak orang asli ini, laporkan ia kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat terdekat, kepada kerajaan, wakil rakyat, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan bukannya menimbulkan panik.

"Jika benar berlaku keadaan seperti itu, kita akan minta supaya tindakan diambil segera," katanya pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Menandatangan Perjanjian Persefahaman di antara Scanda Sky dan Amal by Malaysia Airlines di sebuah hotel di sini hari ini.

Hadir sama pada sidang media itu, Exco Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Tan Kar Hing.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab laporan akhbar bahawa kanak-kanak orang asli di Gerik berdepan masalah kekurangan nutrisi kesan pembalakan balak di kawasan tersebut.

Sementara itu, Ahmad Faizal berkata, masalah berkaitan kurang nutrisi itu juga turut berlaku di kawasan bandar khususnya bagi keluarga kurang berkemampuan.

Artikel Berkaitan:

"Inilah sebabnya kerajaan memperkenalkan Kad Perak Prihatin untuk memastikan rakyat dapat memberikan makanan berkhasiat kepada anak-anak.

"Kad ini juga kita salurkan kepada semua tempat termasuk perkampungan orang asli Hulu Perak," katanya.

Kad Perak Prihatin dilancarkan pada 10 April lalu oleh Ahmad Faizal di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan.

Kad tersebut berfungsi sebagai kad bayaran untuk membeli keperluan makanan sebanyak RM80 sebulan dan kad rawatan kesihatan yang memperuntukkan RM300 setahun kepada 17,000 individu memerlukan di Perak.