Kerajaan bayar RM1.2 juta kepada keluarga tujuh pelajar Pos Tohoi

Tujuh keluarga murid Orang Asli dari SK Tohoi, Gua Musang yang hilang pada Ogos 2015 gembira kerana kerajaan bersetuju memberi pampasan kepada mereka. - Foto Bernama
Tujuh keluarga murid Orang Asli dari SK Tohoi, Gua Musang yang hilang pada Ogos 2015 gembira kerana kerajaan bersetuju memberi pampasan kepada mereka. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan membayar RM1.2 juta sebagai penyelesaian penuh terhadap saman yang difailkan keluarga Orang Asli berhubung kehilangan tujuh anak mereka dari asrama sekolah di Pos Tohoi, Gua Musang, Kelantan, lapan tahun lepas.

Berdasarkan terma penyelesaian yang direkodkan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kota Bharu, Datuk Mohamad Abazafree Mohd Abbas semalam, kedua-dua pihak mencapai persetujuan bahawa pihak defendan (kerajaan) membayar sebanyak RM1.2 juta dan kos RM60,000 sebagai jumlah penyelesaian penuh dan muktamad bagi kes itu.

Penyelesaian penuh dan muktamad kes itu juga adalah tanpa sebarang perakuan liabiliti daripada semua defendan-defendan.

Selain itu pihak ketiga (syarikat insurans) bersetuju membayar RM150,000 termasuk kos sebagai penyelesaian penuh dan muktamad bagi semua kes saman itu.

Peguam dan aktivis Siti Kassim, yang sepatutnya hadir sebagai saksi pertama dalam perbicaraan ketika dihubungi berkata, penyelesaian itu dipersetujui selepas perbincangan antara wakil kerajaan dan peguam keluarga di luar mahkamah sebelum perbicaraan.

Pada 2018, plaintif memfailkan saman itu terhadap sembilan defendan atas perlanggaran kewajipan Perlembagaan, kewajipan statutori dan kewajipan fidusiari menyebabkan tujuh kanak-kanak Orang Asli yang bersekolah di Sekolah Rendah Pos Tohoi, Gua Musang hilang selama 47 hari.

Mereka menamakan kerajaan Malaysia, Menteri Pendidikan, Ketua Pengarah Pelajaran, guru besar sekolah, warden asrama, Menteri Kemajuan Luar Bandar, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli, Ketua Polis Negara dan Ketua Polis Daerah Gua Musang sebagai defendan.

Tujuh mangsa terdiri daripada enam perempuan dan seorang lelaki, melarikan diri dari asrama sekolah pada 23 Ogos 2018 kerana takut dihukum selepas berenang di sungai tanpa kebenaran

Daripada tujuh itu, hanya Norieen Yaakob, ketika itu 11, dan Miksudiar Aluj, yang berumur 12 tahun semasa kejadian, terselamat, selepas mereka hilang selama 47 hari di dalam hutan berhampiran.

Adik Norieen, Haikal, 8; Ika Ayel, 9; Juvina David, 7; Linda Rosli, 8, ditemui meninggal dunia selepas 47 hari manakala Sasa Sobrie, 8, tidak ditemui.

Plaintif diwakili beberapa peguam antaranya Datuk Gurdial Singh Nijar, Andrew Yeap dan Tan Hooi Ping manakala Peguam Kanan Persekutuan, Andi Razalijaya A Dadi mewakili semua defendan. - Bernama