Kastam Johor rampas barang larangan bernilai RM2.14 juta

Pengarah Kastam Johor, Datuk Mohammad Hamiddan Maryani pada sidang media di Menara Kastam di sini hari ini.
Pengarah Kastam Johor, Datuk Mohammad Hamiddan Maryani pada sidang media di Menara Kastam di sini hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kastam Johor berjaya mematahkan cubaan menyeludup barang larangan bernilai RM250,919.58 dengan cukai terlibat RM1,891,437.48 dalam tiga serbuan berasingan sekitar bandar raya ini.

Pengarahnya, Datuk Mohammad Hamiddan Maryani berkata, kesemua rampasan barang larangan itu terdiri daripada minuman keras, mercun dan rokok putih.

Menurutnya, bagi kes pertama, serbuan dilakukan ke atas sebuah premis dijadikan stor penyimpanan sementara di Taman Bukit Indah, di sini sekitar jam 2.45 petang pada 3 Mei lalu.

"Pemeriksaan di dalam premis mendapati terdapat tiga komoditi barang tak berkastam iaitu minuman keras, mercun dan rokok.

"Jumlah minuman keras diperolehi adalah 3,854.24 liter bir, liquor import (1,509.05 liter) dan liquor tempatan (372.85 liter).

"Bagi rokok, sebanyak 383,600 batang rokok putih ditemui. Manakala mercun, sejumlah 704 kilogram ditemui.

"Kesemua barangan tak berkastam itu bernilai RM79,719.58 dengan cukai terlibat iaitu RM461,917.48," katanya pada sidang media di Menara Kastam di sini hari ini.

Artikel Berkaitan:

Mohammad Hamiddan berkata, tiga lelaki warga tempatan berusia antara 26 hingga 39 tahun yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes tersebut telah ditahan dan barang kes disita bagi kes pertama itu.

Katanya, bagi kes kedua, pasukan serbuan telah menahan sebuah lori di Kampung Sri Paya, dekat Kulai sekitar jam 6.40 pagi pada 6 Mei lalu.

"Semasa penahanan lori tersebut, pemandu cuba melarikan diri, namun berjaya diberkas. Hasil pemeriksaan rapi mendapati lori tersebut membawa 100 'master case' rokok putih atau sejuta batang rokok.

"Nilai rampasan sebanyak RM80,000 dan nilai cukai pula sebanyak RM668,000. Seorang lelaki warga tempatan berusia 52 tahun dipercayai ada kaitan dengan kes tersebut ditahan dan barang kes disita," katanya.

Selain itu, beliau berkata, bagi kes ketiga, pasukan serbuan telah menemui sebuah lori diletakkan di tepi Jalan Sri Putri 3/1, dekat Kulai yang berkunci dan tiada pemandu atau pemilik berhampiran sekitar jam 6.30 petang, 6 Mei lalu.

"Hasil pemerikasaan rapi berjaya menemui sejumlah 114 'master case' rokok atau 1,140,00 juta batang dengan nilai rampasan RM91,200 dan cukai RM761,520.

"Kesemua barang kes telah dibawa ke pejabat untuk siasatan lanjut," katanya.

Mohammad Hamiddan berkata, kesemua kes terbabit disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) dan Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 serta Seksyen 34(1) Akta Eksais 1976.

"Orang ramai digesa membantu pihak berkuasa memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain.

"Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi kehilangan hasil, malah ia turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat," katanya.