Peniaga ditipu pelanggan, terima tempahan 120 bungkus nasi goreng

Nur Syafiqah terpaksa menjualnya dengan harga murah selepas mengiklankannya di Facebook bagi mengelakkan pembaziran.
Nur Syafiqah terpaksa menjualnya dengan harga murah selepas mengiklankannya di Facebook bagi mengelakkan pembaziran.
A
A
A

PORT DICKSON - Seorang pengusaha restoran di Batu 8 Teluk Kemang di sini terpaksa menanggung kerugian selepas 120 bungkus nasi goreng yang ditempah tidak diambil pelanggan pada Sabtu.

Disebabkan itu, Nur Syafiqah Kamaruddin, 27, terpaksa menjualnya dengan harga murah selepas mengiklankannya di Facebook bagi mengelakkan pembaziran.

Menurutnya, dia menerima tempahan tersebut daripada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Irsyad pada Jumaat lalu.

"Dia beritahu mahu buat tempahan makanan untuk dua kali makan dalam tempoh tiga hari bermula hari Sabtu untuk majlis ujian pengambilan tentera baru.

"Saya pun buka resit dan minta bayaran deposit, tetapi dia beritahu yang saya tak perlu risau kerana pada hari Sabtu jam 3 petang, 'Kapten Zamri' akan datang buat bayaran sepenuhnya ketika mengambil tempahan berkenaan," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Tanpa rasa curiga kata Nur Syafiqah, dia bersetuju dengan perjanjian itu ditambah pula lelaki terbabit turut menghantar gambar kad pengenalan tentera 'Kapten Zamri'.

Malah katanya, dia turut diminta menghantar gambar persiapan yang telah dilakukan untuk menyediakan tempahan makanan tersebut.

"Saya langsung tak fikir apa-apa sehinggalah semalam (Sabtu) bila saya telefon dan menghantar pesanan di WhatsApp, dia langsung tak jawab.

"Saya cuba guna telefon suami menghubungi Irsyad dan ada seorang lelaki jawab. Bila saya tanya soal tempahan makanan, dia kata kemungkinan tempahan dari kapten dia," katanya.

Bagaimanapun kata Nur Syafiqah, dia mula menyedari ditipu apabila diminta untuk menghubungi beberapa nombor lain dan individu tersebut memaklumkan tidak mengetahui soal itu.

Tambahnya, sepanjang lebih 10 tahun berniaga ini kali pertama dia ditipu sebegitu.

"Bila saya kongsi perkara itu di Facebook, ramai yang beritahu mereka pernah alami pengalaman sama ditipu scammer oder makanan.

"Nampaknya selepas ini saya perlu berhati-hati dan perlu pastikan ambil deposit terlebih dahulu," katanya.