Perbahasan sektor gig dibangkitkan dalam forum G20

Hanya 15 peratus daripada keseluruhan penggiat sektor gig di seluruh dunia bekerja menerusi platform dalam talian dilindungi insurans bencana kerja.
Hanya 15 peratus daripada keseluruhan penggiat sektor gig di seluruh dunia bekerja menerusi platform dalam talian dilindungi insurans bencana kerja.
A
A
A

SHAH ALAM - Aspek perlindungan sosial di antara penggiat sektor gig dan platform dalam talian di seluruh dunia mempunyai jurang yang besar dan memerlukan langkah penyelesaian menyeluruh menerusi aspek perundangan dan dasar bersesuaian.

Presiden Persatuan Keselamatan Sosial Antarabangsa (ISSA), Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, langkah intervensi itu perlu dilakukan kerana kajian Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) mendedahkan hanya 15 peratus daripada keseluruhan penggiat sektor gig di seluruh dunia bekerja menerusi platform dalam talian dilindungi insurans bencana kerja.

Menurutnya, kadar penyediaan liputan jenis insurans sedemikian bagi pekerja di lapangan yang sama dengan pelanggan adalah dua kali ganda, iaitu kira-kira 33 peratus.

“Ketidakseimbangan aspek perlindungan sosial ini masih berlarutan kerana tumpuan diberikan terhadap pekerja lapangan berbanding penggiat sektor gig seperti yang bekerja menerusi platform dalam talian.

“Pengabaian terhadap penggiat sektor gig ini perlu ditangani menerusi tindakan merangka perundangan dan dasar bersesuaian. Bagi memastikan segenap kelompok pekerja mendapat perlindungan sosial yang berkesan.

“Perlindungan sosial bagi penggiat sektor gig juga adalah antara isu penting yang giat ditangani di Malaysia,” katanya.

Mohammed Azman berkata sedemikian selepas diundang menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Buruh dan Pekerjaan G20 di Indore, India, menerusi kapasitinya sebagai Presiden ISSA, pada Sabtu.

Beliau dilantik menyandang jawatan Presiden ISSA ke-17, bagi tempoh selama tiga tahun hingga 2025 menjadi antara panel pembentangan di pentas forum antarabangsa tersebut bagi mewakili lebih 320 anggota institusi berkenaan dari 163 negara.

Beliau berkata, penganjuran forum G20 di bandar barat tengah India itu turut meraih sokongan menerusi Deklarasi Menteri yang menggariskan keperluan untuk merintis kerjasama dan tumpuan selanjutnya ke arah penyelesaian isu sektor gig.

“Deklarasi ini secara khusus menggesa ILO, Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) dan ISSA untuk menyumbangkan buah fikiran kepada rangkaian inisiatif G20 yang menyentuh mengenai permasalahan ini pada masa depan.

“Kita berdiri teguh menyuarakan sokongan kepada setiap negara dalam perjuangan bersama ini, demi mencapai matlamat ke arah dunia pekerjaan yang bermaruah dan terangkum,” katanya.