30 tahun ke bawah usia sesuai pimpin pertubuhan belia

Khairudin (tengah) bersama sebahagian penerima Anugerah Khas Belia dan Anugerah Perdana Belia Negara 2023 sempena Karnival Sambutan Hari Belia Negara peringkat negeri di Kompleks Belia dan Sukan Perak pada Sabtu.
Khairudin (tengah) bersama sebahagian penerima Anugerah Khas Belia dan Anugerah Perdana Belia Negara 2023 sempena Karnival Sambutan Hari Belia Negara peringkat negeri di Kompleks Belia dan Sukan Perak pada Sabtu.
A
A
A

IPOH - Sudah tiba masa pertubuhan belia digerakkan generasi berusia 30 tahun dan ke bawah, kata Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Beliau berpandangan, perubahan itu bagi membolehkan identiti dan matlamat dibawa dalam pertubuhan seiring dengan aspirasi belia pada masa kini.

"Berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia pada tahun 2021, daripada 2.63 juta jumlah penduduk Perak, seramai 745,00 orang bersamaan 28.2 peratus adalah belia berusia 15 hingga 30 tahun.

"Jadi saya percaya, Majlis Belia Negeri Perak sebagai badan induk pertubuhan belia di negeri ini telah bersedia dengan transisi kepimpinan dan keahlian pertubuhan belia ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Karnival Sambutan Hari Belia Negara peringkat negeri Perak di Kompleks Belia dan Sukan Perak di sini pada Sabtu.

Teks ucapan beliau dibacakan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Perak, Dr Zainah Shariff dan Presiden Majlis Belia Negeri Perak, Muhammad Puhaz Salleh.

Dalam pada itu, Saarani turut mencabar pertubuhan-pertubuhan belia di negeri ini melakukan perubahan dalam komposisi kepimpinan yang lebih inklusif merangkumi semua kelompok belia.

Sebagai langkah pertama katanya, semua pertubuhan belia perlu bergerak ke arah sekurang-kurangnya 30 peratus keahlian wanita di semua peringkat kepimpinan dalam organisasi masing-masing.

"Sebagai tunjang keutuhan Kerajaan Perpaduan yang mewakili satu pertiga daripada populasi negara kita, inilah masanya untuk belia menimba ilmu, meneroka alam kerjaya, mencari tujuan hidup.

"Inilah juga masanya untuk kita mengukuhkan jati diri dan identiti kenegaraan dalam generasi muda negara," katanya.

Beliau memberi jaminan bahawa kerajaan negeri akan mengkaji lebih banyak model kerjasama dengan pertubuhan belia untuk memperkasa peranan mereka.

Ujarnya, langkah itu termasuklah membawa suara dan kegelisahan belia di peringkat tertinggi pentadbiran melalui penubuhan Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Belia dan Mesyuarat Penyelarasan Exco Pembangunan Belia dan Sukan.

"Saya telah mengadakan sesi townhall bersama Majlis Belia Malaysia (MBM) pada awal tahun ini dan antara kejayaan terbesar dari sesi itu adalah sambutan pada hari ini," katanya.