'Boleh datang siasat 25 jam sehari, lapan hari seminggu' - Sanusi

Muhammad Sanusi
Muhammad Sanusi
A
A
A

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bersedia memberi kerjasama sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan kes kecurian unsur nadir bumi (REE) di Bukit Enggang, Sik.

Beliau berkata, mana-mana pihak berkuasa dialu-alukan untuk menjalankan siasatan berhubung REE mahupun membabitkan pentadbiran kerajaan negeri.

Menurutnya, pejabat Menteri Besar sentiasa terbuka untuk menerima kunjungan pihak berkuasa dalam apa jua isu yang dibangkitkan.

"Saya akan beri kerjasama penuh kepada apa jua kes siasatan oleh mana-mana pihak berkuasa.

"Sudah banyak kali saya sebut, sejak jadi Menteri Besar, saya dan pejabat Menteri Besar terbuka untuk disiasat SPRM atau mana-mana agensi,” katanya ketika dihubungi di sini pada Khamis.

Muhammad Sanusi turut mempelawa mana-mana pihak berkuasa untuk menghubungi beliau pada bila-bila masa sahaja.

“Boleh datang, siasat 25 jam sehari, lapan hari seminggu. Boleh hubungi saya melalui WhatsApp, kalau saya tak sempat jawab panggilan telefon," katanya secara berseloroh.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki memaklumkan pihaknya sudah memanggil 12 orang saksi berhubung kes rasuah dan salah guna kuasa dalam kegiatan mencuri REE di Kedah.

Menurut beliau, semua saksi yang dipanggil sudah dirakam keterangan bagi membantu siasatan manakala beberapa lagi saksi termasuk Muhammad Sanusi akan dipanggil dalam tempoh terdekat.

Pada Rabu, SPRM menahan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah dan pengarah syarikat bagi membantu siasatan berhubung rasuah dan salah guna kuasa dalam kegiatan perlombongan REE membabitkan rasuah lebih RM13 juta.

ARTIKEL BERKAITAN: REE: SPRM rakam keterangan 12 saksi

REE: Saya belum terima kunjungan SPRM - Sanusi

Saifuddin minta Sanusi dedah identiti lelaki China ditahan berkaitan REE

REE: Saifuddin dedah MBI Kedah terima kompaun

Kerajaan Kedah digesa beri penjelasan isu teroka, kecurian REE