REE: SPRM rakam keterangan 12 saksi

Azam (kanan) ketika sesi dialog sempena program Cakna Rasuah bersama media peringkat Zon Timur di Kuala Nerus, pada Khamis.
Azam (kanan) ketika sesi dialog sempena program Cakna Rasuah bersama media peringkat Zon Timur di Kuala Nerus, pada Khamis.
A
A
A

KUALA NERUS - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah merakam keterangan 12 saksi setakat ini bagi membantu siasatan berhubung isu penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa melibatkan perlombongan unsur nadir bumi (REE) di Kedah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, setakat ini belum ada ahli politik yang dipanggil berhubung isu berkenaan termasuk Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Jelas beliau, 12 saksi berkenaan melibatkan pegawai Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah dan syarikat swasta yang terlibat dalam perlombongan REE itu.

"Siapa sahaja yang berkaitan akan dipanggil (untuk membantu siasatan), beliau (Sanusi) juga akan dipanggil, lambat atau cepat sahaja," katanya ketika ditemui pemberita pada program Cakna Rasuah bersama media peringkat Zon Timur di sini, pada Khamis.

Dalam perkembangan sama, Azam memberitahu, SPRM juga sedang mengesan beberapa saksi luar negara iaitu dari China bagi melengkapkan siasatan berhubung isu berkenaan.

"Kita juga sedang mengesan saksi dari China yang dikatakan membuat pelaburan kepada (aktiviti) perlombongan REE tersebut," katanya.

Menurut Azam, pihak SPRM turut mengenal pasti beberapa perkara berhubung prosedur bagi meluluskan pengeluaran REE termasuk surat tular di internet yang didakwa ditandatangani Muhammad Sanusi.

"Saya tak boleh dedahkan lagi siapa yang akan dipanggil, tapi ramai lagi saksi kita nak ambil keterangan untuk siasat tentang isu REE ini.

"Bila kita siasat, kita bukan terus nak pergi terjah sana sini. Kita kena buat pengesahan dahulu dan akan memanggil mana-mana saksi yang berkenaan," ujarnya.

Terdahulu, SPRM pada Rabu telah menahan dua individu bagi membantu siasatan berhubung rasuah dan salah guna kuasa dalam sektor perlombongan melibatkan nilai melebihi RM13 juta.

Kedua-dua mereka adalah seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar (MBI) dan seorang wanita berjawatan pengarah syarikat yang direman selama tiga hari sehingga Jumaat.

Perintah reman dikeluarkan secara berasingan di Mahkamah Majistret Alor Setar dan Mahkamah Majistret Shah Alam pada Rabu.

Sementara itu, Azam menafikan dakwaan sesetengah pihak kononnya SPRM menerima tekanan daripada pihak tertentu bagi mempercepatkan siasatan berhubung kes berkenaan.

Jelas beliau, kes tersebut tetap akan disiasat walaupun di luar tempoh pilihan raya negeri (PRN).

"Tiada siapa menekan kami (untuk siasat) kes ini dan ia secara kebetulan. Saya tekankan tadi sama ada secara kebetulan (berlaku dalam tempoh) PRN atau tiada PRN itu bukan masalahnya.

"Kes kita kalau lihat 'track record' (usaha membanteras rasuah) kami lakukan secara berterusan sejak lima tahun lepas sehingga sekarang, kita amat menitikberatkan hal-hal berkaitan salah guna kuasa dalam pentadbiran kerajaan," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: REE: Saya belum terima kunjungan SPRM - Sanusi

Saifuddin minta Sanusi dedah identiti lelaki China ditahan berkaitan REE

REE: Saifuddin dedah MBI Kedah terima kompaun

Kerajaan Kedah digesa beri penjelasan isu teroka, kecurian REE

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!