Laluan kontra arah timur di LPT1 diaktifkan mulai Khamis

Maklumat pengaktifan laluan kontra KM 123.10- KM 124.70 LPT1 mulai Khamis.
Maklumat pengaktifan laluan kontra KM 123.10- KM 124.70 LPT1 mulai Khamis.
A
A
A

KUANTAN - Laluan kontra dari Kilometer (KM) 123.10 hingga KM 124.70 arah timur diaktifkan selama tiga bulan bermula pada Khamis bagi meminimumkan gangguan aliran trafik utama untuk kerja-kerja projek tebatan banjir di Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1).

Pengerusi Eksekutif Anih Berhad, Datuk Nik Fauzi Nik Hussein berkata, pengaktifan sistem itu disebabkan beberapa skop kerja kritikal di kawasan tersebut.

Menurutnya, kerja-kerja itu membabitkan penambakan laluan utama dan kawasan sekitarnya, menaikkan tahap ketinggian laluan utama, penambahbaikan menyeluruh kepada laluan air sedia ada dan pembinaan saluran air tambahan.

"Projek tebatan banjir itu dilaksanakan bagi menangani peningkatan paras sungai dan kawasan tadahan hujan yang sebelum ini menjejaskan laluan utama LPT1.

"Skop kerja ini melibatkan 14 kawasan yang telah dikenal pasti di laluan utama sepanjang lebuh raya tersebut," katanya melalui satu kenyataan pada Khamis.

Nik Fauzi berkata, tahap keselamatan dan keselesaan pengguna menjadi keutamaan pihaknya justeru pengaktifan laluan kontra itu bertujuan untuk mengurangkan gangguan trafik sepanjang projek berjalan.

"Pengaktifan lorong kontra akan diubah mengikut kesesuaian dan keperluan trafik semasa," katanya.

Terdahulu, taklimat berkenaan maklumat dan perkembangan fasa projek tebatan banjir itu telah disampaikan pihak Anih Berhad kepada Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi sempena lawatan kerjanya bagi meninjau kerja-kerja di tapak KM124, arah barat pada Rabu.

Nik Fauzi berkata, keseluruhan projek tebatan banjir itu dijangka mengambil masa selama empat tahun meliputi kerja-kerja menaikkan paras permukaan jalan sedia ada berdasarkan paras banjir tertinggi yang direkodkan di LPT1 dan membina selenggaraan tambahan di kawasan terjejas untuk mengelakkan air daripada masuk ke laluan utama.

Jelasnya, sejak pembukaan LPT1, empat kejadian banjir telah berlaku iaitu pada 2007, 2014, Januari 2021, dan Disember 2021 sehingga terpaksa ditutup beberapa hari kepada semua jenis kenderaan.

"Pengguna dinasihatkan agar merancang perjalanan dan mematuhi papan arah serta arahan petugas di lokasi.

"Mereka juga disaran mengikuti saluran rasmi media sosial Anih Berhad di Facebook (@Lebuhraya Pantai Timur) dan Twitter, (@LPTTrafik) serta Lembaga Lebuhraya Malaysia di Twitter (@llmtrafik) dan Facebook (@Lembaga Lebuhraya Malaysia) untuk sebarang informasi tepat dan terkini," jelasnya.

Tambah beliau, untuk sebarang kecemasan, boleh hubungi LPT - Line di 1-700-818-700 atau LLM di 1800-88-7752.