Sukarelawan dasar laut selamatkan terumbu karang

Seorang penyelam menunjukkan 'pukat hantu' yang berjaya dibersihkan.
Seorang penyelam menunjukkan 'pukat hantu' yang berjaya dibersihkan.
A
A
A

MELAKA - Biarpun mempunyai kerjaya sendiri namun ia tidak menghalang sekumpulan penyelam melaksanakan kerja sukarelawan di dasar laut dengan membersihkan 'pukat hantu' terutama di Taman Laut Pulau Undan.

Kakitangan kerajaan, Suraya Sulaiman, 46, dari Cheras berkata, satu yang merugikan sekiranya kecantikan terumbu karang ditutupi dengan 'pukat hantu' sekali gus merosakkan khazanah laut itu.

Suraya
Suraya

Menurutnya, tidak ramai yang menyertai aktiviti sukarelawan seperti itu lebih-lebih lagi dengan kos agak tinggi, namun demi untuk menyelamatkan alam di dasar laut perlunya ada tanggungjawab bersama supaya Taman Laut terus menjadi tumpuan pelancong.

"Saya berharap lebih ramai yang akan tampil termasuk kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk berganding bahu dalam kerja sukarelawan di dasar laut.

"Ini penting agar keindahan dasar laut dapat dikekalkan demi kelangsungan taman laut dan bebas sebarang ancaman kepada ikan serta terumbu karang," katanya ketika ditemui di Taman Laut Pulau Undan di sini, pada Rabu.

Bagi jurulatih skuba, Mohd Noor Hamdi Abdul Azim, 47, berkata, cabaran yang sering dihadapi apabila berdepan dengan pelbagai peralatan ikan seperti pukat jaring dan jala yang lama tersangkut di terumbu karang.

Mohd Noor Hamdi
Mohd Noor Hamdi

Menurutnya, usaha untuk membersihkan peralatan itu perlu dilakukan dengan berhati-hati dan secara berkumpulan kerana penyelam berisiko cedera ataupun lemas.

"Sebab ada 'pukat hantu' yang terbiar lama, jadi sukar untuk ditarik dan memerlukan tenaga.

"Malah kalau kita tidak berhati-hati boleh terperangkap dalam pukat atau jaring dan menyebabkan lemas, selain ada bahagian terumbu karang jadikan kulit pedih atau gatal," katanya yang telah lapan tahun terlibat dalam kerja sukarelawan itu.

Sebahagian sukarelawan turut memberikan kawasan Taman Laut Pulau Undan.
Sebahagian sukarelawan turut memberikan kawasan Taman Laut Pulau Undan.

Ujarnya, walaupun pelbagai cabaran terpaksa dihadapi termasuk penglihatan terhad kerana perairan Selat Melaka yang bergelora namun tidak ia menghalangnya meneruskan aktiviti itu di pulau berkenaan.

"Meskipun terpaksa keluarkan kos sendiri tapi dengan cara ini kita dapat memulihara sumber perikanan dan industri pelancongan," katanya yang akan melakukan servis peralatan menyelam setiap tahun.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Perikanan Melaka, Abd Karim Nawar berkata, dengan adanya kumpulan sukarelawan dapat memperkasakan usaha kerajaan negeri untuk melindungi kawasan terumbu karang di Taman Laut ini supaya tidak mengalami kepupusan.

Abd Karim
Abd Karim

Menurutnya, sejak Pulau Undan diwartakan sebagai Taman Laut pada April 2023, dianggarkan seramai 400 pelancong berkunjung ke pulau tersebut setiap bulan bermula Mei lalu.

"Dengan terpeliharanya terumbu karang dan haiwan marin air di sini dapat menarik lebih ramai pelancong pada tahun depan sempena Tahun Melawat Melaka (TMM2024).

"Kita juga mengalu-alukan kumpulan penyelam dan mana-mana individu untuk melakukan aktiviti sukarelawan membersihkan pulau ini, " katanya.