Ketegasan Jurij tumpaskan ajaran sesat tok ayah, serban hijau

Jurij menunjukkan sijil dan piala iringan yang diterima sebagai Tokoh Maal Hijrah Negeri Perak 1445 Hijrah.
Jurij menunjukkan sijil dan piala iringan yang diterima sebagai Tokoh Maal Hijrah Negeri Perak 1445 Hijrah.
A
A
A

IPOH - Kejayaan menumpaskan kumpulan ajaran sesat 'tok ayah' dan 'serban hijau' menjadi antara pengalaman berharga sepanjang perkhidmatan buat penerima anugerah Tokoh Maal Hijrah Negeri Perak tahun ini, Jurij Sulaiman.

Jurij, 87, berkata, tugasnya sebagai Ketua Pendakwa Syariah sekitar tahun 70-an ketika itu mendapat kepercayaan pihak atasan menjalankan misi penyiasatan dan membongkar kegiatan meragukan kumpulan berkenaan.

Sepanjang penyiasatan, beliau menyaksikan sendiri bagaimana individu yang menggelarkan diri 'tok ayah' memijak naskah al-Quran dan mengaku sebagai rasul akhir zaman.

"Peristiwa ini berlaku di sebuah kampung di Tapah, ketika itu saya hadir ke majlis mereka untuk lihat sendiri pergerakan kumpulan itu.

"Siasatan demi siasatan kita lakukan sehinggalah akhirnya individu tok ayah ini mengaku bersalah dan segera bertaubat," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Rabu.

Ketegasan bapa lima anak itu dalam membanteras amalan khurafat kumpulan 'serban hijau' di Parit Buntar juga telah mengakibatkannya hampir dikenakan tindakan saman di mahkamah.

Katanya, siasatan mendapati kumpulan itu didapati meletakkan kain selubung serban hijau dan azimat ke atas satu-satu jenazah yang akan dikebumikan.

Sultan Nazrin berkenan menyampaikan Anugerah Tokoh Maal Hijrah Negeri Perak kepada Jurij.
Sultan Nazrin berkenan menyampaikan Anugerah Tokoh Maal Hijrah Negeri Perak kepada Jurij.

"Semasa proses kebumi itu, saya tahan untuk siasat, itu yang menyebabkan mereka marah dan menuduh saya mengatakan perkara tidak baik.

"Tetapi mujurlah kes itu tidak berlarutan dan digugurkan dari mahkamah," katanya.

Anugerah Tokoh Maal Hijrah 1445 Hijrah disampaikan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sempena sambutan Maal Hijrah peringkat negeri di Pusat Konvensyen Casuarina Meru di sini pada Rabu.

Jurij yang merupakan Pengasas Yayasan Pembangunan Masjid-masjid Wilayah Bagan Serai menganggap penganugerahan tokoh Maal Hijrah sebagai satu pengiktirafan besar selepas hampir 30 tahun bersara daripada perkhidmatan.

"Terima kasih kerana mencalonkan saya. Dulu (2010) saya terima anugerah Tokoh Keluarga Mithali daripada Almarhum (Sultan Azlan Shah) dan sekarang daripada anakandanya pula (Sultan Nazrin)," katanya.

Dalam majlis itu, Sultan Nazrin turut berkenan menyampaikan Tokoh Ar-Ridzuan kepada Pengerusi Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) Ipoh, Datuk Dr Fadzli Cheah Abdullah.

Dr Fadzli Cheah, 72, menganggap penghargaan diterima sebagai satu penghormatan atas sumbangan dan penglibatan persatuan.

Pakar Neurosurgeri yang juga Pengerusi Masjid Muhammadiah atau dikenali Masjid Cina itu berkata, tanpa kerja keras semua ahli persatuan dan kariah masjid, prestasi persatuan tidak akan sampai ke tahap membanggakan.

"Wang tunai yang diterima saya ini akan serahkan kepada persatuan," katanya.

Tokoh Belia pula dianugerahkan kepada Yang Dipertua Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Perak, Mohamad Saifuddin Abdul Latif; penulis buku dan aktivis wanita, Dr Umi Kalthum Ngah (Tokoh Wanita) dan pemilik syarikat Intan Food’s, Hasarinawati Abdul Wahab (Anugerah Ikon Asnaf).

Selain itu, Anugerah Pengurusan Masjid Terbaik diberikan kepada Masjid Al-Hidayah Bandar Behrang 2020 manakala Pengurusan Tanah Perkuburan Islam Terbaik kepada Tanah Perkuburan & Waqaf Am Islam Kariah Rapat Setia, Ipoh.

ARTIKEL BERKAITAN:Maal Hijrah: Sultan Kedah titah jangan bangkit isu gugat perpaduan

Maal Hijrah: Jauhi hasad dengki, amalan fitnah - Agong

Bekas Ketua Pengarah IKIM Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan

Maal Hijrah: Tingkat azam pupuk visi, misi hidup lebih baik

Doa Sultan Nazrin, hijrah bersengketa kepada berdamai

Umat Islam perlu kuasai disiplin ilmu, teroka kejayaan

Maal Hijrah: Wan Junaidi dipilih Tokoh Dakwah Terengganu

Maal Hijrah: Sultan Kedah titah jangan bangkit isu gugat perpaduan

Jangan bangkit isu runtuhkan perpaduan - Tokoh Maal Hijrah

Tokoh Maal Hijrah Johor anggap anugerah pembangkit semangat berjihad