Tokoh Maal Hijrah Johor anggap anugerah pembangkit semangat berjihad

Shakirin, isteri Norlida Ismail, 72, bersama anak-anak, menantu dan cucu pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Johor Tahun 1445H di Majlis Bandaraya Iskandar Puteri hari ini. - Foto Bernama
Shakirin, isteri Norlida Ismail, 72, bersama anak-anak, menantu dan cucu pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Johor Tahun 1445H di Majlis Bandaraya Iskandar Puteri hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Penerima anugerah tokoh Maal Hijrah 1445H peringkat negeri Johor, Shakirin Omar menganggap pengiktirafan yang diterimanya sebagai pembangkit semangat untuk meneruskan dakwah dan berjihad di jalan ALLAH.

Bekas Hakim Syarie Mahkamah Tinggi Syariah Muar itu berkata, beliau berharap ia menjadi asbab kepada keluarga, kenalan dan masyarakat untuk berusaha melakukan perubahan pada diri untuk menjadi lebih baik.

"Saya berbesar hati menerima anugerah ini, saya harap ia turut memberi motivasi buat anak-anak serta cucu dalam menjalankan kerja dakwah.

"Dengan mengambil roh Maal Hijrah, setiap insan perlu berubah menjadi lebih baik setiap hari, perubahan ini perlu dalam kita mengatur hidup ke jalan ALLAH dan membentuk iman yang sempurna," katanya.

Shakirin, 72, berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Maal Hijrah 1445H Peringkat Negeri Johor di Dewan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri di sini hari ini.

Pada majlis tersebut, bapa kepada lima anak itu menerima wang tunai RM12,000, hadiah iringan dan sijil penghargaan daripada kerajaan negeri Johor yang disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid.

Lulusan Universiti Al-Azhar, Mesir itu turut menzahirkan rasa bersyukur dan terima kasih kepada kerajaan negeri yang menghargai perkhidmatannya selama ini.

"Terima kasih kepada kerajaan negeri dan terutama buat Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang memperkenankan penganugerahan itu," katanya.

Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Undang-undang Syariah Universiti Al-Azhar, Mesir; diploma pentadbiran Mahkamah Syariah dan diploma pentadbiran kehakiman di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Shakirin memulakan kerjayanya sebagai guru agama pada 1971 sebelum menjadi pengelola pelajaran Agama Negeri Johor (1980), pegawai zakat dan amil baitulmal negeri Johor (1983).

Beliau kemudiannya berkhidmat sebagai pegawai tadbir agama di Pejabat Kadi Daerah Mersing, Kota Tinggi, Pontian, Segamat dan Muar (1987-1996), hakim syarie Mahkamah Rendah Syariah Segamat (1996) dan jawatan terakhirnya sebagai hakim syarie Mahkamah Tinggi Syariah Muar.

Atas jasa beliau yang aktif pelbagai bidang aktiviti keagamaan dan keilmuan, beliau telah dikurniakan pelbagai pengiktirafan antaranya Pingat Ibrahim Sultan Johor Pangkat Kedua pada 1991 dan Pingat Lama Perkhidmatan oleh kerajaan Negeri pada 2015. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN:Maal Hijrah: Sultan Kedah titah jangan bangkit isu gugat perpaduan

Maal Hijrah: Jauhi hasad dengki, amalan fitnah - Agong

Bekas Ketua Pengarah IKIM Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan

Maal Hijrah: Tingkat azam pupuk visi, misi hidup lebih baik

Doa Sultan Nazrin, hijrah bersengketa kepada berdamai

Umat Islam perlu kuasai disiplin ilmu, teroka kejayaan

Maal Hijrah: Wan Junaidi dipilih Tokoh Dakwah Terengganu

Maal Hijrah: Sultan Kedah titah jangan bangkit isu gugat perpaduan