Sanusi nafi gagal dihubungi polis

Muhammad Sanusi
Muhammad Sanusi
A
A
A

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menafikan dakwaan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain bahawa beliau gagal dihubungi pada Isnin sehingga penahanan terpaksa dibuat pada jam 2.30 pagi di Mont Kiara pada Selasa.

Muhammad Sanusi menegaskan, beliau ada berkomunikasi menerusi WhatsApp dengan pegawai polis Bukit Aman dari jam 10 malam sehingga 12.30 tengah malam pada Selasa.

Menurutnya, ia sebagai perundingan agar beliau tidak ditangkap kerana akan memberi kerjasama penuh untuk hadir ke Mahkamah Selayang pada jam 9 pagi.

"Saya nak betulkan sidang media Ketua Polis Negara, dengan penuh rasa hormat saya kepada Tan Sri, sidang media semalam tak betul, saya ada komunikasi dengan pegawai Bukit Aman supaya tidak ditangkap.

"Saya tahu komplot ini nak tangkap saja dulu kerana tangkapan itu bagi satu naratif bahawa telah berlaku satu kesalahan. Kalau dia tangkap depan orang ramai lagi dia syok, jadi saya elak untuk ditangkap. Saya kata saya boleh beri kerjasama untuk hadir ke mahkamah," katanya ketika ditemui selepas mengiringi Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah hadir pada Majlis Perhimpunan Sempena Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Kedah Tahun 1445H pada Rabu.

Sanusi berkata, notis ke mahkamah itu hanya diketahuinya daripada sebuah portal berita tempatan selepas jam 6 petang.

"Saya kata saya tak ada notis apa, depa register (daftar) kes secara online (dalam talian) jam 5 lebih lepas waktu pejabat. Nampak tak komplot itu? Jarang lah orang lepas waktu pejabat fail kes, lepas itu saya tak dak notis apa," katanya.

Beliau yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) mengakui pada awalnya beliau ada menerima panggilan termasuk panggilan kepada pegawainya.

"Bagaimanapun, ketika itu saya sedang mesyuarat, ada tiga mesyuarat hari itu, ada call (panggilan) masuk jadi saya tanya siapa, dia perkenal diri sebagai pegawai Bukit Aman.

"Saya ada print skrin (tangkap layar), jangan main-main dengan saya, saya print semua itu," katanya.

Muhammad Sanusi berkata, pegawai terbabit menjelaskan tujuan dia menghubunginya itu kerana hendak menyambung keterangan.

"Saya kata keterangan apa lagi, dia kata nak sambung lagi, saya tanya terus nak buat tangkapan kah? Dia kata nak ambil keterangan. Dia duk bertahan macam itu saja.

"Saya kata kalau nak tangkap, habaq betul-betul sebab saya seboleh-bolehnya tak mahu ditangkap. Pasal saya warganegara yang baik, saya sentiasa beri kerjasama kepada polis. Saya tak pernah lari sekalipun," katanya.

Ujarnya, sehingga beliau habis mesyuarat kira-kira jam 11.40 malam, Muhammad Sanusi memaklumkan mahu pulang kerana menghadiri tiga mesyuarat sejak pagi.

"Saya dah tak mampu saya nak kena balik mandi apa semua dulu. Dia kata boleh dak mai Balai Polis Hartamas? Saya kata buat apa? Nak ambil keterangan itulah atau mana-mana balai yang sesuai.

"Saya kata takkan nak sambung keterangan mana-mana balai boleh pi noh, dia spesifik. Takkan pi mana-mana balai boleh. Saya kata ini sah lah satu tangkapan, kalau nak tangkap saya, saya tak mahu pi," katanya.

Jelas Muhammad Sanusi, beliau turut memberitahu akan memberi komitmen 100 peratus pada jam 9 pagi untuk berada di mahkamah Seksyen Selayang.

"Tak perlu tangkap saya. Saya nak lari mana? Saya kan Menteri Besar, tapi dia tetap nak suruh saya hadir. Saya kata tak apalah, saya dah habis saya nak tidur. Saya nak rehat," katanya.

Muhammad Sanusi berkata selepas tamat perbualan WhatsApp itu, beliau menghubungi seorang pegawai kanan polis agar tidak melakukan tangkapan terhadapnya.

Bagaimanapun, beliau berkata, pada jam 2.30 pagi sekumpulan anggota dan pegawai polis datang menahannya.

"Saya ucap terima kasih kepada anggota polis yang sangat profesional, saya tak salahkan mereka. Mereka jalankan tugas berdasarkan arahan.

"Tahap profesionalisme yang tinggi anggota-anggota polis khususnya dari Bukit Aman, mereka sopan saya tidak dikasari, saya diberi peluang untuk mandi, gosok gigi dan minum. Cuma mai itu ramai sangat menakutkan orang di hotel itu kan. Tapi masa itu orang tak ramai.

"Saya pi di Balai Polis Gombak tapi tak masuk lokap lah, saya diletak dalam bilik mesyuarat, diambil keterangan satu kes lain, empat soalan saja," katanya.

Pengerusi PN Kedah itu berkata, empat soalan itu adalah berkaitan kenyataannya dalam program "Keluar Sekejap" bahawa orang bukan Islam lebih ramai mengamalkan rasuah daripada Muslim.

"Saya memperolehi maklumat dan fakta itu daripada seorang pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Empat soalan itu saja, jadi saya duduk situ (balai) sampai jam 8.30 pagi, lepas itu terus ke mahkamah," jelasnya.

Justeru, dakwaan Razarudin bahawa beliau menolak panggilan dan tidak mahu bekerjasama sama sekali tidak benar.

"Kesemua tangkap layar mengenai perbualan dengan pegawai Bukit Aman sudah dihantar kepada seorang lagi pegawai atasan Bukit Aman pada Selasa," katanya.

Sanusi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri berkata, selepas menyedari kenyataan Ketua Polis Negara yang dikeluarkan ketika sidang media adalah berbeza dengan situasi sebenar yang berlaku selain tiada pembetulan dibuat sehingga Rabu, beliau merasakan perlu memberi penjelasan mengenai perkara itu.

"Saya tidak mahu berkelahi dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) saya berkelahi dengan menterinya saja.

"Saya juga tidak akan sesekali berkongsi tangkap layar perbualan WhatsApp itu kerana mahu menjaga hubungan dengan PDRM," katanya.

Pada Selasa, Muhammad Sanusi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Selayang atas pertuduhan mengeluarkan kata-kata menghasut berhubung isu penubuhan Kerajaan Perpaduan dalam satu ceramah politik, minggu lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Beliau turut berhadapan satu lagi pendakwaan di Mahkamah Sesyen Selayang, atas pertuduhan mengeluarkan kata-kata menghasut berhubung isu penubuhan Kerajaan Perpaduan dalam satu ceramah politik minggu lalu.

ARTIKEL BERKAITAN:MB Kedah ditahan

Muhammad Sanusi dibawa masuk menerusi laluan lokap mahkamah

Pertuduhan di mahkamah bunuh karier menjelang PRN - Sanusi

Bicara Sanusi secara adil, bebas cengkaman politik

Lujnah undang-undang urus kes Sanusi sebaik mungkin - Tuan Ibrahim

Laungan takbir bergema iringi Sanusi

Tindakan undang-undang ke atas Sanusi pengajaran buat semua - Pas

'Saya faham, tidak mengaku salah Yang Arif' - Sanusi

Polis rekod keterangan Guan Eng, Abdul Hadi isu 3R

Polis ambil keterangan Dr Mahathir

Kertas siasatan kes Tun M dirujuk ke Pejabat Peguam Negara

Sanusi hilang status MB, kerusi ADUN jika bersalah