Tiada agenda politik di sebalik pertuduhan terhadap Sanusi - Amirudin

Amirudin Shari
Amirudin Shari
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Pertuduhan terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor tidak mempunyai kaitan dengan politik dan tiada sebarang agenda di sebaliknya, kata Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata, kenyataan Muhammad Sanusi telah melampaui batasan dan menjejaskan institusi diraja Selangor.

"Kenyataan beliau telah menyentuh dan melampaui batasan serta menjejaskan institusi diraja Selangor, yang membangkitkannya bukan saya sebagai Menteri Besar Selangor tetapi laporan berhubung perkara itu juga datangnya daripada Pengerusi Dewan Diraja Selangor oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor,” katanya pada forum PRN: The Fight for Selangor di sini hari ini.

Amirudin berkata, semua pihak perlu menghormati Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan.

Selain itu, beliau berkata, tindakan Muhammad Sanusi yang memutarbelitkan perkara tersebut sebagai isu politik dan agama amat tidak bertanggungjawab.

"Beliau sekali lagi memutarbelitkan ia sebagai isu politik dan cuba menggunakan isu politik dan agama untuk meraih simpati, saya rasa ini amat tidak bertanggungjawab meskipun Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor sudah memberi amaran semasa menangguhkan sidang Dewan Undangan Negeri kami.

"Tuanku (Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah) dalam titah baginda amat jelas memberi amaran kepada mana-mana ahli politik agar tidak cuba menggunakan atau mengambil kesempatan terhadap isu 3R, (agama, institusi diraja dan kaum), jadi sesiapa yang melanggar batasan itu akan berdepan tindakan undang-undang,” katanya.

Muhammad Sanusi, 48, hari ini didakwa di dua Mahkamah Sesyen Selayang atas pertuduhan menghasut berhubung isu pelantikan Menteri Besar Selangor dan penubuhan Kerajaan Perpaduan dalam satu ceramah politik minggu lepas.

Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional itu mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nor Rajiah Mat Zin dan Hakim Osman Affendi Mohd Shalleh.

Beliau didakwa telah melakukan perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut dengan menyebut perkataan yang mempunyai kecenderungan untuk membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana raja. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN:MB Kedah ditahan

Muhammad Sanusi dibawa masuk menerusi laluan lokap mahkamah

Pertuduhan di mahkamah bunuh karier menjelang PRN - Sanusi

Bicara Sanusi secara adil, bebas cengkaman politik

Lujnah undang-undang urus kes Sanusi sebaik mungkin - Tuan Ibrahim

Laungan takbir bergema iringi Sanusi

Tindakan undang-undang ke atas Sanusi pengajaran buat semua - Pas

'Saya faham, tidak mengaku salah Yang Arif' - Sanusi

Muhammad Sanusi dibawa masuk menerusi laluan lokap mahkamah