KKM jalankan siasatan dalam kes Dea Maisarah

Dr Zaliha - Foto Bernama
Dr Zaliha - Foto Bernama
A
A
A

BALIK PULAU - Kementerian Kesihatan (KKM) sedang menjalankan siasatan dalaman berhubung kejadian Dea Maisarah Bada yang meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di Selangor termasuk pengelasan kematian iaitu Brought in Dead (BID) dalam sijil atau permit pengebumiannya.

Menterinya, Dr Zaliha Mustafa berkata, siasatan dalaman itu dibuat bagi mengetahui lebih lanjut dan terperinci berhubung kejadian sebenar insiden berkenaan yang telah tular sejak beberapa hari lepas itu.

"Sebenarnya seperti saya sebut sebelum ini kes itu telah dibawa ke siasatan pihak polis dan kita (KKM) juga beri sepenuhnya kepada polis untuk lakukan siasatan, malah kami juga dinasihatkan untuk tidak memberi atau mengeluarkan sebarang komen sehingga siasatan selesai.

"Namun, kami sendiri menjalankan siasatan dalaman bagi mengetahui lebih lanjut dan apa jua secara terperinci berhubung kes itu dengan memanggil pihak berkaitan, ini ialah prosedur biasa dan kita sedang jalankan siasatan dalaman itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Jabatan Kecemasan dan Pesakit Luar Hospital Balik Pulau (HBP) pada Selasa.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan akhbar bapa Dea Maisarah, Bada Hussein, 48, membuat laporan polis berhubung pengelasan kematian iaitu BID dalam sijil atau permit pengebumian adalah palsu dan tidak benar.

Bada dilaporkan berkata, beliau sedia maklum yang anaknya masih hidup ketika dihantar ke hospital berkenaan dengan dia mempunyai bukti termasuk resit pembayaran dan berharap pihak berkuasa menyiasat berhubung pengelasan kematian BID itu.

Sebelum ini, media melaporkan Dea Maisarah, 10, hadir ke Jabatan Kecemasan dan Trauma HTAR bersama bapanya pada 9 Julai lepas sebelum disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan.

Sementara itu, Dr Zaliha ketika mengulas berhubung kes kecuaian di hospital kerajaan di Pahang dan Melaka berkata, KKM turut akan menjalankan siasatan dalaman bagi kedua-dua kes berkenaan.

"Apa pun keadaannya, kita kena tengok kes tersebut bagaimana, bukan semua kes boleh diletakkan di bawah ‘medical legal’ dan ada yang disebabkan prosedur biasa ... tetapi saya beri jaminan kita akan jalankan siasatan terperinci bagi kedua-dua kes tersebut," katanya.

Pada Isnin, akhbar melaporkan Jabatan Kesihatan Pahang (JKNP) memberi jaminan untuk menyiasat dan mengambil tindakan lanjut berhubung kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun enam bulan yang tular menerusi media sosial.

Kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia pada 9.34 pagi semalam selepas lima hari dirawat di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) di Temerloh bermula 12 Julai lepas.

Bagi kes di Melaka, seorang lelaki mendakwa tangan anak saudaranya berusia dua bulan mengalami bengkak dan bernanah ketika mendapatkan rawatan di Hospital Melaka (HM) baru-baru ini. - Bernama