Keputusan kes dadah Isma Halil diketahui 27 Februari

Penyampai radio Isma Halil didakwa mengedar dadah jenis kanabis dua tahun lepas.
Penyampai radio Isma Halil didakwa mengedar dadah jenis kanabis dua tahun lepas.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Keputusan sama ada penyampai radio Isma Halil Hamzah dipanggil untuk membela diri atau dibebaskan atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis dua tahun lepas, akan diketahui 27 Februari ini di Mahkamah Tinggi di sini.

Sekiranya keputusan mahkamah memihak kepada pihak pendakwaan yang berpendapat wujud kes prima facie terhadap Isma Halil, maka dia akan dipanggil membela diri manakala jika sebaliknya, lelaki itu dilepas dan dibebaskan.

Peguam Adi Zulkarnain Zulkafli yang mewakili tertuduh ketika dihubungi hari ini mengesahkan tarikh keputusan itu dan memaklumkan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin dijadual membacakan keputusan pada akhir kes pendakwaan itu pukul 9 pagi.

"Sebelum ini, perbicaraan berlangsung pada 19, 20 dan 31 Oktober 2022, kemudian bersambung pada 3 dan 9 Jan lepas. Seramai lima saksi pendakwaan memberi keterangan di mahkamah," kata peguam itu.

Menurut peguam, mahkamah juga menetapkan 9 Feb ini untuk pihak pendakwaan dan pembelaan memfailkan hujahan bertulis.

Isma Halil, 49, mengaku tidak bersalah atas dakwaan mengedar dadah jenis kanabis anggaran berat 374.6 gram di sebuah rumah di Jalan Semarak, Wangsa Maju di sini, pada 5.35 petang, 27 Ogos 2021.

Dia dituduh mengikut Seksyen 39B(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan. - Bernama.