Melaka kekurangan doktor, ambulans uzur dan rosak - Exco

Hospital Melaka masih kekurangan doktor. Gambar kecil: Poay Tiong
Hospital Melaka masih kekurangan doktor. Gambar kecil: Poay Tiong
A
A
A

MELAKA - Melaka masih berdepan masalah kekurangan doktor di negeri ini apabila kekurangan 50 doktor untuk keperluan semua hospital dan klinik kesihatan awam terutama di Hospital Melaka.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan, Ngwe Hee Sem, berkata, permasalahan itu telah dipanjangkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk mengambil tindakan segera bagi memastikan perkhidmatan lebih baik dapat diberikan kepada pesakit yang mendapatkan rawatan di institusi kesihatan kerajaan.

Menurut beliau, selain kekurangan doktor, keadaan ambulans yang ditempatkan sama ada di hospital mahupun klinik kesihatan didapati 10 buah ambulans telah uzur dan pernah mengalami kerosakan kerana berusia lebih 10 tahun.

"Namun kita faham masalah kekurangan doktor ini sebenarnya bukan sahaja dihadapi, Melaka.

"Ia turut dihadapi negeri lain yang lebih memerlukan berbanding Melaka," katanya ketika dihubungi di sini pada Sabtu.

Hee Sem
Hee Sem

Terdahulu media melaporkan, Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa memaklumkan penempatan segera pegawai perubatan baharu akan dilakukan di Hospital Melaka bagi mengatasi masalah kekurangan kakitangan sejak awal bulan ini.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong turut menyatakan kegusaran dengan isu kekurangan doktor yang melanda hospital Melaka.

Menurut beliau, lebih membimbangkan apabila Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) mendakwa situasi getir kekurangan doktor akan berlaku pada Ogos depan disebabkan masalah komunikasi dalam urusan penempatan pegawai perubatan.

Katanya, khuatir ia akan menjejaskan mutu perkhidmatan yang akan diberikan kepada pesakit dan tidak mustahil insiden di mana pesakit terpaksa diusung menggunakan tangga seperti tular pada bulan lalu berulang lagi.

"Harap KKM dan Jabatan Kesihatan Negeri (JTN) tampil memberikan penjelasan kepada orang ramai tentang keadaan sebenar.

"Kita harap KKM dapat melihat isu ini dan ambil tindakan efektif supaya hal-hal sedemikian tidak lagi berulang lagi," katanya.