Bot karam: Kanak-kanak 7 tahun lemas, seorang lagi hilang

Operasi SAR dilakukan di sekitar perairan bot dilaporkan karam di Pulau Nusa Tengah Semporna pada Jumaat.
Operasi SAR dilakukan di sekitar perairan bot dilaporkan karam di Pulau Nusa Tengah Semporna pada Jumaat.
A
A
A

SEMPORNA - [DIKEMAS KINI] Seorang kanak-kanak ditemukan lemas manakala seorang lagi hilang selepas bot yang dinaiki mereka karam dalam kejadian di perairan Pulau Nusa Tengah, di sini pada Jumaat.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Nasirin Katibin, 7, manakala mangsa yang hilang dikenali sebagai Padli Ambit, 7.

Terdapat dua mangsa lelaki terselamat iaitu bapa kepada mangsa yang maut, Katibin Husni, 28, dan seorang lagi dikenali sebagai Ampit Gopek, 25.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Air Semporn,a Noorjali Maslah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 2.41 petang.

Katanya, seramai empat anggota dikejar ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 15 kilometer.

"Terdapat empat mangsa yang terlibat di mana tiga telah ditemui oleh Pasukan Polis Marin (PPM) iaitu dua dalam keadaan selamat dan seorang lagi meninggal dunia.

"Seorang lagi mangsa belum ditemui setakat ini dan pasukan bomba bersama agensi penyelamat lain telah menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) seluas 3.225 batu nautika dari lokasi bot dilaporkan karam," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Bagaimanapun, Noorjali berkata, operasi ditanggguhkan pada jam 4.50 petang dan akan disambung semula esok.

"Maklumat akan dikemas kini dari masa ke masa," katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan di Lahad Datu, seorang remaja lelaki lemas ketika melakukan aktiviti mandi bersama rakannya di sungai Kampung Sepagaya Batu 5.

Mangsa Muhamad Zulaimie Muhamad Chumaidih, 14, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua BBP Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 3.12 petang.

"Seramai lima anggota dikejar ke lokasi dan mangsa ditemui oleh orang awam sebelum pasukan bomba tiba.

"Pasukan bomba kemudian memberikan bantuan pernafasan, namun mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan serta dibawa ke Hospital Lahad Datu untuk tindakan selanjutnya," katanya.