103 pertuduhan kes jenayah seksual kanak-kanak di Johor

Kamarul Zaman
Kamarul Zaman
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis Johor telah berjaya membuat 103 pertuduhan daripada 219 kes berhubung kesalahan jenayah seksual melibatkan kanak-kanak dilaporkan dalam tempoh mulai 1 Januari hingga 13 Julai 2023.

Menurut Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, kesemua pertuduhan berkenaan melibatkan 59 kes bagi jenayah rogol, sumbang mahram (20 kes), liwat (enam kes), akta kesalahan seksual terhadap kanak-kanak (69 kes), penderaan kanak-kanak (58 kes) dan buang bayi (tujuh kes).

"Daripada keseluruhan kes itu, pecahannya pula melibatkan 29 kes bagi kes rogol, sumbang mahram (12 kes), liwat (tiga kes), akta kesalahan seksual terhadap kanak-kanak (33 kes) dan penderaan kanak-kanak (26 kes).

"Selain itu, tiada kes yang direkodkan bagi kes pembuangan bayi," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor Bahru, pada Jumaat.

Tambah Kamarul Zaman, orang ramai dinasihatkan agar sentiasa memantau pergerakan dan pergaulan anak-anak agar tidak terjebak dalam kegiatan jenayah atau menjadi mangsa jenayah seksual.

"Polis Kontinjen Johor juga menasihatkan ibu bapa supaya memantau penggunaan gajet/telefon bimbit pintar anak-anak serta media sosial anak-anak supaya tidak disalahgunakan," katanya.

Sementara itu, Kamarul Zaman berkata, seramai 40 kanak-kanak daripada 43 yang dilaporkan hilang telah berjaya ditemui.

Katanya, penemuan berkenaan membuatkan tiga lagi kanak-kanak masih belum ditemui sehingga kini.