Tiada isu ancam Islam kerana BN ada dalam Kerajaan Perpaduan

Tangkap layar kenyataan Shahrir di laman Facebook pada Jumaat. Shahrir Abdul Samad (kiri).
Tangkap layar kenyataan Shahrir di laman Facebook pada Jumaat. Shahrir Abdul Samad (kiri).
A
A
A

SHAH ALAM - Selepas tujuh bulan Kerajaan Perpaduan mentadbir negara bersama BN, tiada isu yang mengancam Islam seperti Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) ketika tempoh kerajaan Pakatan Harapan (PH) 1.0 memerintah sebelum ini.

Veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, kebolehan dan pengaruh parti politik boleh dibandingkan dan dilihat kepada usaha serta pencapaian ketika mereka mentadbir negara.

Menurutnya, ini kerana semua parti politik tanah air sudah pernah berada dalam kerajaan.

"Contohnya, bandingkan tujuh bulan pertama Kerajaan Pakatan Harapan (PH) 1.0 Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dengan tujuh bulan pertama Kerajaan Perpaduan selepas PRU15.

"Selepas tujuh bulan pertama kerajaan PH 1.0 yang dipimpin oleh Tun Dr Mahathir Mohamad dan dibantu oleh Lim Guan Eng (DAP), Tan Sri Muhyiddin Yassin(Bersatu) dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (PKR), telah berlaku satu bangkitan serta bantahan terbesar orang Melayu Muslim di Kuala Lumpur. Ingat tak? ujarnya menerusi laman Facebook pada Jumaat.

Tambah Shahrir, bantahan terbesar terhadap rancangan kerajaan PH 1.0 untuk menerima ICERD berlaku pada 8 Disember 2018 iaitu tujuh bulan selepas mereka ambil alih kerajaan.

"Sungguhpun ada Tun Dr Mahathir, Muhyidin dan Azmin Ali dalam kerajaan, usaha kearah sekularisma telah berlaku secara berterangan. Mungkin kerana ada PKR dan DAP, kedua-dua parti yang berideologi sekularisma.

"Kalau sekarang ini ada momokan bahawa Islam berada dalam bahaya kerana adanya DAP dan PKR dalam Kerajaan Perpaduan, bezanya Tun Dr Mahathir, Muhyidin dan Azmin Ali di luar manakala Barisan Nasional (BN) yang berada di dalam kerajaan. Momokan itu bukan realiti," jelasnya.