Pekebun gesa tangani isu jalan ditutup

Keng Heng bersama sebahagian pekebun membincangkan permasalahan berkenaan.
Keng Heng bersama sebahagian pekebun membincangkan permasalahan berkenaan.
A
A
A

KOTA TINGGI - Pekebun-pekebun di Batu 16, berhampiran jalan Johor Bahru-Kota Tinggi kecewa dengan tindakan pihak pemaju yang bertindak menutup jalan utama bagi urusan keluar masuk ke kebun itu hingga menimbulkan kesukaran kepada pekerja-pekerja yang tinggal kebun berkenaan.

Tinjauan Sinar Harian ke kawasan berkenaan mendapati urusan keluar masuk ke kebun itu hanya menggunakan satu jalan utama yang perlu melalui pondok pengawal.

Bagaimanapun, jalan di situ hanya beroperasi mulai 7 pagi hingga 6 petang setiap hari dan ia ternyata memberikan kesulitan kepada pekerja-pekerja yang tinggal di dalam kebun berkenaan.

Bagi seorang pekebun kelapa sawit A Govindasamy, 72, masalah itu sudah lama berlarutan dan diharap ia dapat segera diatasi.

Katanya, pihaknya faham tujuan pemaju menutup jalan berkenaan bagi mengelakkan orang luar masuk ke kebun tersebut, tetapi dalam masa sama, pemaju juga perlu memikirkan nasib pekerja-pekerja yang tinggal di dalam kebun berkenaan.

"Bila ada kecemasan waktu malam, susahlah mereka dah tak dapat keluar sebab pintu dah tutup jam 6 petang. Jalan lain ada, tapi jauh.

"Jadi, kita minta kalau boleh, ada guard yang jaga waktu malam. Kalau ada kecemasan senang," katanya.

Bagi seorang pekebun durian, Lim Cher Hwee, 52, keadaan berkenaan menyukarkan pekerjanya termasuk pekerja di ladang buah-buahan dan sayuran yang tinggal di kawasan itu untuk keluar masuk selepas waktu ditetapkan.

"Isu macam ni timbul bila pekerja di dalam kawasan kebun ini ada kecemasan terutamanya pada waktu malam, tapi mereka tak dapat keluar sampai jam 7 pagi esok.

"Kita tahu pemaju tak mahu ada kecurian, tapi perkara ini berikan masalah kepada pekerja kami pula," katanya.

Sementara itu, Setiausaha MCA Johor, Datuk Ng Keng Heng berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan penduduk serta Pejabat Tanah Daerah Kota Tinggi dan pihak pemaju dalam masa terdekat bagi menangani permasalahan berkenaan.

Justeru katanya, pihaknya juga merancang mengumpulkan tanda tangan kesemua pekerja yang tinggal di kebun berkenaan bagi menyamakan permasalahan berkenaan.

"Sehubungan itu, kita suarakan perkara ini, kita minta semua 100 lebih pekebun atau mereka yang tinggal di dalam kebun ini untuk tandatangan petisyen mendesak pihak berkenan membela nasib mereka.

"Namun, setakat ini hanya 20 pekebun sahaja yang berbuat demikian," katanya.